Topik diikuti
Pergi ke BHkuMadrasah Alsagoff juara Bahas 4PM
Madrasah Alsagoff juara Bahas 4PM
Madrasah Alsagoff juara Bahas 4PM
BUAT julung-julung kalinya, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah menjadi juara setelah berjaya menumpaskan Madrasah Aljunied Al-Islamiah dalam pertandingan bahas peringkat menengah anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).
Para peserta membahaskan mauduk, Menerusi media sosial, belia Singapura ialah wakil negara yang utama di muka dunia, dengan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah sebagai pembangkang dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah sebagai pencadang.
Merumuskan perdebatan itu di akhir pertandingan baru-baru ini adalah ketua penilai Dr Mohamad Shamsuri Juhari yang berkata:
"Kedua-dua pihak menunjukkan kreativiti terutama dari segi memberikan akronim (dalam kesimpulan hujah mereka) dan itu adalah antara kekuatan mereka.
"Dari segi spontan, kedua-dua pihak memberikan hujah yang jelas dari segi bahasa."
Mengulas aspek yang boleh diperbaiki dalam hujahan peserta, Dr Shamsuri mengatakan bahawa kedua-dua pihak kurang jelas dengan contoh-contoh yang diberi.
Apabila ditemui, pembahas ketiga pasukan juara, Haninah Rehan berkata kepada Berita Harian (BH):
"Kami sangat bangga kerana pada hari ini kami dapat menunjukkan kerjasama kumpulan ketika pertandingan bahas tadi.
"Ini juga merupakan satu peningkatan berbanding bahas-bahas sebelum ini.
"Jadi saya juga amat berterima kasih kepada anggota kumpulan saya yang telah membantu dalam celahan dan bidasan."
Haninah juga telah mengharumkan nama sekolah dengan kemenangannya selaku pembahas terbaik peringkat separuh akhir dan juga meraih pembahas terbaik keseluruhan pertandingan.
Beliau membawa pulang Piala Izzuddin Taherally.
Menyifatkan pertandingan bahas sebagai wadah yang menonjolkan bakat pasukan pelajarnya, Cikgu Erna Salamun dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah berkata:
"Walaupun pada mulanya mereka berasa gementar, pada keseluruhannya kami lihat bahawa mereka mampu maju dan menunjukkan bakat terpendam. Sebagai guru, kami tidak salah pilih."
Pasukan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah turut menampilkan pasangan adik-beradik, Bintang Desyratna Sukiman dan Putri Sri Dewi Sukiman.
Putri Sri Dewi yang pertama kali melibatkan diri dalam kegiatan bahas berkata:
"Walaupun ia agak sukar pada mulanya, saya rasa membahas amat seronok.
"Secara keseluruhan, membahas juga telah memberi saya peluang untuk menimba lebih pengetahuan am dan pada masa yang sama, kami dapat mempertingkatkan diri."
Tahun ini merupakan tahun ke-70 sejak pertandingan Bahas 4PM dikendalikan pada 1952.
Tetamu terhormat bagi acara itu ialah Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary.
Walaupun tewas, kumpulan naib juara, Madrasah Aljunied Al-Islamiah tetap berbangga dengan prestasi mereka memandangkan ini adalah kali pertama peserta-peserta kumpulan itu menyertai pertandingan bahas.
Pembahas kedua, Raja Nur Syakirah Raja Muzaffar Shah akur bahawa prestasi kumpulannya telah meningkat berbanding peringkat saringan.
"Ini adalah yang terbaik kami telah lakukan dan saya amat bangga dengan prestasi keseluruhan kumpulan kami.
"Sudah pastinya kami boleh memperbaiki lagi tetapi kami reda dan gembira serta kagum dengan prestasi kami," kata Raja Nur Syakirah yang juga pembahas terbaik pada peringkat saringan sebelum ini.
Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain, berharap menerusi pertandingan bahas ini, peserta akan terus menyumbangkan tenaga untuk melestarikan bahasa.
"Dengan bimbingan yang mereka terima kini, saya harap peserta mereka akan terus taburkan jasa dan beri semula kepada masyarakat," ujar Encik Nassar.
"Kami sangat bangga kerana pada hari ini kami dapat menunjukkan kerjasama kumpulan ketika pertandingan bahas tadi. Ini juga merupakan satu peningkatan berbanding bahas-bahas sebelum ini. Jadi saya juga amat berterima kasih kepada anggota kumpulan saya yang telah membantu dalam celahan dan bidasan." - Haninah Rehan, pembahas ketiga Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.
