Sekumpulan 17 mahasiswa daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) menghadiri bengkel penciptaan kandungan dalam talian yang dikendalikan oleh Berita Harian (BH) pada 20 Januari.
Penerbit media sosial OMGxBH, Cik Nur Sabrina Masri, mengendalikan bengkel tersebut kepada mahasiswa yang terdiri daripada anggota Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (PBMUKS).
Bengkel yang diadakan di bilik berita BH itu memberi peluang kepada peserta untuk memahami dan mempelajari asas menghasilkan kandungan berkualiti.
Mahasiswa tahun ketiga jurusan Kejururawatan, Encik Muhammad Hazmi Kamsar, berkata bengkel tersebut memberinya pemahaman yang lebih mendalam tentang cabaran dan kerumitan proses penciptaan kandungan dalam talian.
“Sebelum ini, saya hanya menonton kandungan yang tersedia. Kini, saya lebih memahami proses kompleks di sebalik penciptaan satu video,” jelas mahasiswa berusia 23 tahun itu.
Kumpulan tersebut dibawa meninjau bilik berita BH dan diberi taklimat tentang pelbagai unit operasi BH serta tanggungjawab utama yang dilaksanakan oleh setiap pasukan.
Mereka turut diperkenalkan kepada pasukan digital BH, yang memainkan peranan penting dalam operasi harian.
Mahasiswi tahun kedua jurusan Seni Bina Landskap, Cik Nur Hanisah Mohamad Ibrahim, 20 tahun, menyatakan kekagumannya terhadap struktur dan susun atur pejabat penerbitan berita.
“Sebelum ini, saya tidak sedar betapa pentingnya setiap anggota pasukan mempunyai hubungan yang lebih daripada sekadar pekerjaan, supaya dapat menghasilkan kandungan yang bermakna,” katanya.
Di akhir bengkel, kumpulan mahasiswa tersebut diberikan tugasan untuk mencipta sebuah video mengikut tema yang telah ditetapkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg