Mahkamah di Singapura akan diberikan lebih banyak budi bicara dalam menjatuhkan hukuman paling sesuai bagi kesalahan memandu jika terdapat faktor pengurangan tertentu sekiranya pindaan kepada Akta Trafik Jalan Raya (RTA) diluluskan.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, membentangkan Rang Undang-Undang Trafik Jalan Raya (Pelbagai Pindaan) di Parlimen pada 11 November.
Ia bertujuan menentukur semula keseimbangan antara pencegahan dengan perkadaran bagi kesalahan RTA, dan memperluaskan kuasa penguatkuasaan terhadap pemandu yang kerap melanggar undang-undang.
Antara perubahan utama termasuk memberi mahkamah lebih banyak budi bicara dalam menjatuhkan hukuman yang sewajarnya, bergantung kepada keadaan kesalahan.
Ini termasuk contohnya dalam kemalangan di mana pengguna jalan raya lain yang terlibat menunjukkan kelakuan tidak bertanggungjawab atau mengambil risiko, dan disebabkan itu, turut menanggung sebahagian tanggungjawab.
Bagi membolehkan mahkamah memutuskan hukuman yang paling sesuai, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) akan menghapuskan hukuman minimum mandatori dan tempoh hilang kelayakan (DQ) mandatori bagi pesalah kali pertama.
Ini bagi kesalahan seperti memandu secara berbahaya yang menyebabkan kematian atau kecederaan parah, yang dikenakan hukuman minimum mandatori dan tempoh DQ kini.
Ia juga bagi kesalahan memandu secara cuai yang menyebabkan kematian atau kecederaan parah, dengan tempoh DQ minimum mandatori masih dikenakan buat masa ini.
Buat masa ini, mahkamah perlu mengenakan sekurang-kurangnya lima tahun DQ bagi kesalahan memandu secara cuai yang menyebabkan kecederaan, walaupun terdapat keadaan lain yang meringankan.
Dengan perubahan kepada RTA, mahkamah diberikan lebih banyak budi bicara untuk tidak mengenakan hukuman minimum mandatori atau DQ.
Namun, tiada perubahan kepada hukuman maksimum bagi kesalahan ini akan dibuat, kata MHA.
Dalam erti kata lain, mahkamah masih boleh menjatuhkan hukuman lebih tinggi kepada pemandu yang didapati memandu secara berbahaya atau cuai tanpa mengambil kira keselamatan orang lain.
Perubahan itu juga mengecualikan pesalah yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Ini bermakna penalti minimum mandatori, serta penalti tambahan, akan kekal tidak berubah bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Pindaan tersebut juga memberi kelonggaran kepada pihak pendakwa memilih pertuduhan yang sesuai, bergantung kepada kesalahan tertentu.
Ini bermakna pihak pendakwa boleh meneruskan pertuduhan “kecederaan”, yang membawa hukuman lebih ringan, walaupun terdapat fakta “kecederaan parah” telah dilakukan.
“Ini membolehkan pendakwa mengambil kira jenis kecederaan yang ditimbulkan, serta sebarang keadaan yang meringankan, seperti contoh sama ada pengguna jalan raya lain bertanggungjawab sebahagiannya, apabila memutuskan caj yang sesuai untuk dipilih.
“Pindaan itu juga menggalakkan konsistensi dengan peruntukan kanun keseksaan kita yang lain, yang menjelaskan bahawa ‘kecederaan’ mempunyai makna yang sama dalam konteks RTA dan Kanun Keseksaan,” kata MHA.
Satu lagi perubahan penting kepada akta tersebut termasuk bagaimana rekod prestasi pemandu akan dipertimbang dalam klasifikasi sebagai “pesalah berulang” atau repeat offender bagi kesalahan memandu secara berbahaya atau cuai.
Pada masa ini, pemandu kenderaan dianggap sebagai ‘pesalah berulang’ jika mereka mempunyai sabitan terdahulu sama ada untuk memandu berbahaya atau cuai; menjalankan ujian kelajuan haram; atau memandu dengan laju.
Jika disifatkan sebagai pesalah berulang, pemandu akan dikenakan hukuman lebih berat.
Contohnya, hukuman minimum mandatori dalam kes berlaku kecederaan parah atau kematian berpunca.
Bagaimanapun, dengan perubahan kepada RTA, jika pesalah ditangkap kerana kesalahan memandu laju, dia akan didakwa sebagai ‘pesalah berulang’ jika dia memenuhi beberapa kriteria.
Ini termasuk mempunyai sekurang-kurangnya dua sabitan memandu laju dengan memecut melebihi 40 km sejam melebihi had kelajuan jalan raya atau had kelajuan kenderaan, dan berlaku dalam tempoh lima tahun sejak kesalahan memandu berbahaya atau cuai.
“Ini tidak menjejaskan cara kesalahan lain dikira dalam klasifikasi pemandu sebagai ‘pesalah berulang’, iaitu pemandu akan didakwa sebagai ‘pesalah berulang’ jika dia mempunyai sebarang sabitan terdahulu.
“Ini tidak akan menjejaskan budi bicara Mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang lebih tinggi dalam kes dengan rekod pemandu memandu laju merupakan faktor yang memburukkan lagi kesalahan memandu yang berbahaya atau cuai.
“Bagi mana-mana kes tertentu, Mahkamah masih boleh mempertimbangkan kes-kes dahulu oleh seseorang individu apabila menentukan hukuman yang sesuai,” kata MHA.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg