MAHKAMAH Rayuan telah menolak dua percubaan saat akhir yang dibuat secara berasingan oleh sepasang pengedar dadah yang dijadualkan menjalani hukuman gantung pada Rabu (16 Februari) untuk dibebaskan daripada digantung.

Warga Singapura, Roslan Bakar, 51 tahun, dan warga Malaysia, Pausi Jefridin, 37 tahun, dihukum gantung pada 2010 dan tidak berjaya dalam usaha bertahun menentang hukuman mati yang dikenakan ke atas mereka.

Dua hari sebelum dijadualkan dihukum gantung, peguam mereka, Encik Charles Yeo, mengemukakan usul jenayah, meminta Mahkamah Rayuan menyemak semula keputusan mengenakan hukuman mati ke atas kededuanya yang dibuat pada 2018.

Usul itu diperdengarkan dan ditolak pada Selasa (15 Februari).

Encik Yeo kemudian mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk memulakan proses semakan kehakiman prosiding bagi mengesahkan bahawa hukuman mati itu tidak mengikut perlembagaan.

Permohonan itu didengar dan ditolak Mahkamah Tinggi pada pagi Rabu (16 Februari) tetapi proses manahan hukuman gantung daripada diteruskan buat sementara waktu dibenarkan sementara rayuan dibuat.

Rayuan itu kemudian diperdengarkan kepada mahkamah tertinggi di hadapan tiga hakim pada tengah hari Rabu dan ditolak. Dalam dua permohonan, Encik Yeo menyatakan bahawa Roslan dan Pausi kurang upaya dari segi intelek - isu yang sebelum ini kededuanya pernah utarakan tetapi ditolak Mahkamah Tinggi pada 2017 dan Mahkamah Rayuan pada 2018.

Menukil kehakiman sebelum ini dalam penghujahan bertulis, Peguam Negara Kanan, Francis Ng, berkata: "Ia tidak memberi manfaat buat sesiapa pun - tidak buat yang tertuduh, tidak buat keluarga mereka ataupun masyarakat umum - kerana perlu ada pertanyaan tidak berkesudahan dengan harapan yang sama tinggi diberi dan jangkaan yang meleset mengiringi setiap ikhtiar yang tidak membuahkan hasil seperti ini."

Roslan dan Pausi dituduh mengedar dadah tidak kurang daripada 96.07 gram heroin pada 14 Jun 2008.

Selepas perbicaraan 15 hari, pada 22 April 2010, mereka didapati bersalah dan dihukum gantung, yang ketika itu merupakan hukuman wajib bagi kesalahan melibatkan lebih daripada 15 gram heroin.

Rayuan mereka didengar dan ditolak pada 17 Mac 2011.

Pada 30 Januari 2015, Roslan memohon dibicarakan sekali lagi. Permintaannya ditolak pada 30 November tahun itu.

Pada Jun 2016, Roslan dan Pausi memohon untuk diberi hukuman penjara seumur hidup, selepas undang-undang diubah bagi membolehkan hakim mengenakan hukuman gantian jika kondisi tertentu dipenuhi.

Kededua lelaki ini menegaskan mereka mengalami satu kondisi keganjilan minda.

Pakar psikiatri pertahanan telah memeriksa IQ Pausi yang berada pada paras 67 manakala seorang lagi pakar psikiatri menilai Roslan mempunyai kecerdasan pinggiran.

Namun, dalam satu penghakiman pada 13 November 2017, Mahkamah Tinggi mendapati kededua lelaki "menampakkan kecekapan dan kefahaman tentang apa yang mereka lakukan" ketika melaksanakan kesalahan tersebut.

Keperibadian mereka dan testimoni masing-masing menunjukkan mereka "berfungsi dalam cara yang tiada bezanya dengan individu yang memiliki tahap IQ lebih tinggi berkaitan dengan kesalahan dadah itu," jelas mahkamah berkenaan.

"Secara nyata, Roslan adalah individu utama dalam proses urus niaga dadah itu. Dia mengarah tindakan orang lain yang terlibat dan merancang pergerakan yang lain," kata mahkamah.

"Pausi berupaya mengirim dadah dari luar Singapura dan terlibat dalam operasi ini tanpa banyak kesukaran...Tahap IQ yang rendah sahaja bukan bukti minda yang tidak normal," jelas mahkamah lagi.