Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahkamah Syariah, ICA tangani risiko kanak-kanak dalam kes cerai dibawa lari keluar negara
Mahkamah Syariah, ICA tangani risiko kanak-kanak dalam kes cerai dibawa lari keluar negara
Mahkamah Syariah, ICA tangani risiko kanak-kanak dalam kes cerai dibawa lari keluar negara
Mahkamah Syariah (SYC) sedang berbincang dengan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengenai aturan operasi untuk menyekat kanak-kanak dalam kes perceraian Islam daripada dibawa lari keluar negara, khususnya bagi kes-kes berisiko tinggi dan mendesak.
Menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pentadbiran Hukum Islam (Pindaan) di Parlimen pada 4 November, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata keluarga perlu mendapat perlindungan tepat pada masanya apabila terdapat risiko seseorang anak itu mungkin dibawa keluar dari Singapura.
SYC juga sedang menyemak bagaimana kes-kes kecemasan boleh didengar dengan segera, dan akan mengambil rujukan daripada aturan sedia ada bagi kes-kes sivil.
Pindaan kepada Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) itu, yang diluluskan Parlimen pada 4 November, melibatkan penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), perubahan kepada proses perkahwinan dan perceraian orang Islam, serta perlindungan kebajikan anak-anak dalam perceraian Islam.
Ia, antara lain, memberi kuasa kepada SYC untuk membuat perintah yang menghalang seorang anak daripada dibawa ke luar negara tanpa syarat, atau mengenakan syarat pencegahan yang perlu berdasarkan fakta kes berkenaan.
Sekiranya pemindahan ke luar negara dibenarkan, SYC boleh memasukkan syarat-syarat dalam perintah tersebut bagi memastikan hubungan berterusan antara ibu atau bapa di Singapura dengan anak berkenaan.
Perlindungan sedemikian sudah pun tersedia bagi kes-kes sivil hari ini, yang akan menjadi bahan rujukan untuk SYC.
Bagi kanak-kanak yang dibawa ke luar negara sehingga melanggar hak penjagaan, Encik Zaqy berkata ibu atau bapa boleh memohon kepulangan anak berkenaan di bawah Konvensyen Hague mengenai Aspek Sivil Penculikan Kanak-Kanak Antarabangsa, sekiranya negara destinasi merupakan sebuah negara pihak.
“Ini dilakukan di bawah Rangka Kerja Pemulangan Timbal Balik antara Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), selaku Penguasa Pusat Singapura, dengan Penguasa Pusat negara berkenaan.
“MSF bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), untuk memohon bantuan negara destinasi dalam mengesan dan membawa pulang kanak-kanak yang dilarikan itu, selaras dengan undang-undang domestik negara terbabit,” kata beliau.
Sekiranya negara destinasi bukan sebuah negara pihak, MSF tetap akan menyokong ibu bapa sebaik mungkin.
Ini termasuk dengan memberi nasihat kepada ibu bapa dalam mengemudi proses perundangan negara berkenaan, dan memohon bantuan atas dasar muhibah pihak berkuasa negara lain sekiranya wajar.
“Ini merupakan keadaan yang amat sukar bagi keluarga. Justeru, kita mahu mengenal pasti faktor risiko atau isu keibubapaan bersama pada peringkat awal, sebelum ia meruncing,” kata Encik Zaqy.
SYC sudah mempunyai langkah-langkah sedia ada untuk mengenal pasti kanak-kanak yang mungkin berisiko dan menyokong keluarga pada peringkat awal proses perceraian.
Melalui saringan awal, Encik Zaqy berkata sebarang potensi risiko atau isu keselamatan terhadap kanak-kanak boleh dikenal pasti dengan cepat.
Bagi kes berisiko tinggi, SYC akan mempercepatkan perbicaraan mahkamah. Pakar Terapeutik Mahkamah juga boleh bekerjasama dengan pegawai perantara semasa sesi pengantaraan bersama untuk menilai risiko dan menghubungkan keluarga tersebut kepada perkhidmatan sokongan yang bersesuaian.
Semasa perbicaraan, mahkamah juga boleh mengarahkan penyediaan laporan penilaian sosial dan hak penjagaan daripada agensi yang dilantik, yang disediakan oleh pakar terlatih, seperti ahli psikologi, bagi membantu menentukan aturan terbaik demi melindungi kebajikan kanak-kanak.
Selain saringan awal, Encik Zaqy berkata Skim Wakil Kanak-Kanak membolehkan pakar sains sosial yang dilantik dalam panel SYC mendekati secara langsung dengan kanak-kanak bagi kes-kes yang wajar, serta mengetengahkan pandangan anak dan sebarang kebimbangan kebajikan lain dalam laporan pemerhatian yang diserahkan kepada Presiden SYC.
Panel Wakil Kanak-Kanak itu telah diperluaskan daripada dua kepada empat pakar pada awal 2026 untuk mengendalikan lebih banyak kes.