Mahkamah tolak dakwaan pengedar dadah yang mahu elak hukuman mati
Mahkamah tolak dakwaan pengedar dadah yang mahu elak hukuman mati

MAHKAMAH Tinggi menolak percubaan seorang warga Malaysia berusia 33 tahun yang dijadualkan dihukum gantung pada Rabu (10 Nov) kerana mengedar dadah daripada mengelak hukuman mati tersebut.
Namun, Nagaenthran K. Dharmalingam diberi penangguhan pelaksanaan sementara menunggu perbicaraan di hadapan Mahkamah Rayuan pada 2.30 petang esok (Selasa, 9 Nov).
Nagaenthran, yang ditangkap pada 2009 pada usia 21 tahun dengan sebungkus heroin yang diikat pada paha kirinya, cuba mencabar hukumannya dengan berkata dia mempunyai usia mental seseorang yang bawah 18 tahun ketika itu.
Dia berkata, pelaksanaan hukuman mati ke atas orang kurang upaya intelek adalah dilarang di bawah undang-undang antarabangsa kerana ia merupakan hukuman yang tidak berperikemanusiaan.
Dia juga mendakwa Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) mempunyai "dasar dalaman" untuk tidak melaksanakan hukuman mati terhadap banduan yang cacat mental - satu dakwaan yang dinafikan SPS itu.
Dalam ucapan lisannya menolak permohonan itu, Hakim See Kee Oon berkata tidak ada asas yang boleh dipercayai untuk dakwaan Nagaenthran mengenai usia mentalnya.
Usia mental yang didakwa itu berdasarkan pendapat peguamnya, Encik M. Ravi, yang tidak mempunyai kepakaran perubatan dan hanya bertemu banduan itu sekali sahaja, pada 2 Nov, selama 26 minit, kata hakim.
Nagaenthran dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2010 setelah didapati mengedar 42.72 gram heroin.
Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, hukuman mati dikenakan ke atas mereka yang membawa masuk heroin melebihi 15 gram.

