
SELEPAS melahirkan anaknya yang pertama sekitar 10 tahun lalu, Cik Imane Jamal Eddine akui tidak begitu diterima sekembalinya di tempat kerja.
Beliau, yang pada masa itu bekerja dalam sektor teknologi di Jepun, berkata kepakaran teknologinya diragui meskipun memegang sarjana dalam bidang kejuruteraan dan sumbangan wanita terhadap sektor itu kurang diambil serius.
Namun, keadaan telah banyak berubah dan Cik Imane - yang mempunyai lebih 15 tahun pengalaman bekerja dalam bidang itu di Jepun, Perancis dan Singapura - berkata sektor itu kini mengalu-alukan sumbangan wanita dan lebih terbuka menerima kepelbagaian.
Cik Imane kini bertugas sebagai Ketua Kejayaan Pelanggan di Microsoft Singapura di mana beliau memimpin unit yang bertanggungjawab menjaga kepuasan dan kejayaan pelanggan syarikat tersebut.
Beliau merupakan lulusan kursus sarjana dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal dan Perhubungan dari Universiti Tohoku, Jepun.
Menyentuh tentang peluang wanita dalam industri teknologi, Cik Imane berkata:
"Wanita kini disambut dengan tangan terbuka dalam sektor teknologi, kita telah membuktikan bahawa kita mampu untuk duduk semeja dengan pakar teknologi lain.
"Jadi, saya anggap tanggungjawab saya sekarang adalah untuk mencetus inspirasi, menggalak dan membangunkan bakat wanita dalam sektor teknologi dan membantu mereka melakukan yang terbaik."
Katanya, sektor itu memerlukan lebih ramai wanita dari kaum minoriti, termasuk dari masyarakat Melayu/Islam.
Sebagai anggota persatuan tidak mencari untung The Codette Project yang bertujuan menggalak lebih ramai golongan wanita minoriti untuk sama-sama menceburi bidang tersebut, Cik Imane berkata antara faktor yang membuat ramai ragu-ragu menceburi sektor itu adalah salah tanggapan.
"Ramai yang berfikir seseorang itu perlu mahir dalam bidang teknikal untuk ceburkan diri dalam bidang teknologi. Ini tidak benar, keindahan teknologi adalah sesiapa sahaja dengan minda yang terbuka boleh menceburinya.
"Pasukan saya (di tempat kerja) juga terdiri daripada lulusan kursus seni, sejarah... undang-undang juga ada! Mereka menyertai sektor ini kerana minat dengan teknologi, dan mereka kini memainkan peranan sebagai pakar dalam bidang teknologi sekarang," ujarnya.
Cik Imane menambah syarikat 'tech' juga menawarkan pelbagai peranan pekerjaan yang tidak berkait dengan teknologi.
Dalam pada itu, beliau menekankan contoh atau role model wanita dalam bidang itu perlu ditonjolkan dan mengalu-alukan usaha yang dilakukan The Codette Project melalui pameran Success Looks Like This yang memaparkan 37 wanita dalam peranan berbeza dalam sektor teknologi.
Cik Imane, yang terpilih sebagai salah satu kisah yang ditonjolkan, berkata:
"Perkara pertama yang terlintas di fikiran sebaik melihat pameran ini adalah: Saya tidak keseorangan! Kami golongan minoriti tapi bersama kita boleh berjaya.
"Jadi, pameran seperti ini penting terutama sekali untuk menunjukkan kepada belia wanita Muslim bahawa mereka juga boleh berjaya dalam sektor teknologi."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg