Topik diikuti
Pergi ke BHkuMajikan atur langkah izin staf kembali ke pejabat
Majikan atur langkah izin staf kembali ke pejabat
Beberapa majikan tidak mahu tergesa-gesa, mahu buat keputusan berdasarkan keperluan operasi. Akur aturan bekerja dari rumah sudah menjadi norma baru
Majikan atur langkah izin staf kembali ke pejabat
MAJIKAN setempat tidak terburu-buru untuk membolehkan lebih ramai pekerja untuk bertugas di tempat kerja secara bertahap sedang Singapura mengizinkan lebih ramai pekerja untuk berbuat demikian mulai hari ini.
Kebanyakan majikan menyambut baik kelonggaran itu namun beberapa yang ditinjau Berita Harian (BH) berkata mereka akan mengekalkan langkah mengasingkan segolongan kakitangan untuk terus bekerja dari rumah buat sementara waktu.
Ini kerana aturan itu sudah pun menjadi norma baru alam pekerjaan dan pekerja sudah mula menyesuaikan diri dengan aturan itu dek Covid-19.
Namun, mereka akan memerlukan lebih ramai pekerja untuk pulang ke pejabat bagi tugasan yang tidak mudah dilakukan dari rumah.
Misalnya, firma yang menawarkan huraian tenaga, Enercon Asia, akan terus mengamalkan sistem pelan kesinambungan perniagaannya (BCP) di mana dua kumpulan pekerja masing-masing diasingkan supaya bekerja dari rumah dan di pejabat dan mereka akan bertukar giliran bekerja di pejabat setiap dua hari.
Namun, Pengarah Urusan syarikat itu, Encik Azhar Othman menambah bahawa syarikatnya mungkin akan membuka semula pejabat kepada lebih ramai pekerja secara bertahap.
"Saya tak nafikan suasana bekerja dari pejabat memang lebih sesuai untuk pekerja kami, namun kami tidak ingin menerapkan langkah baru ini dengan serta merta hingga menyebabkan semua pekerja datang ke pejabat pada masa yang sama," kata Encik Azhar lagi yang menguruskan sekitar 25 pekerja.
Encik Fazli Mansor, pengasas dan pengarah firma penganjur acara dan penyedia khidmat digital ISGN Ventures, pula berkata pihaknya akan membuat keputusan berdasarkan keperluan operasi.
"Kami masih mengamalkan aturan di mana separuh pekerja akan bertugas dari rumah. Dalam beberapa bulan ini, kami telah menerapkan langkah ini dan kami rasa kami tidak perlu kesemua 10 pekerja kami untuk hadir di pejabat (setiap hari).''
Sementara itu, peguam dan juga pemilik firma guaman A. Rohim Noor Lila LLP, Encik Abdul Rohim Sarip berkata, syarikatnya menyambut baik langkah terkini kerana terdapat beberapa urusan tertentu yang hanya boleh dilakukan di pejabat.
"Terutamanya dalam industri perkhidmatan seperti firma undang-undang, urusan menyediakan dokumen untuk ditandatangani dan difailkan tidak semua dapat dilakukan secara sepenuhnya dari rumah," katanya.
Rabu lalu, Menteri Kesihatan Encik Gan Kim Yong mengumumkan bahawa mulai hari ini, lebih ramai pekerja dibenarkan kembali ke tempat kerja, namun langkah pengurusan selamat perlu diterapkan dan majikan digalakkan untuk melaksanakan langkah seperti waktu kerja fleksibel dan waktu melaporkan diri ke tempat kerja secara selang seli.
Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, dari firma guaman Abdul Rahman Law Corporation (ARLC) berkata, beliau sedar langkah kerja dari rumah membawa tekanan bagi pekerja kerana mereka harus menguruskan rumah dan melakukan tugas.
"Jadi saya amat menyambut baik langkah bagi membolehkan lebih ramai pekerja untuk bertugas di pejabat ini agar ia dapat mengurangkan tekanan itu."
Dari sudut pekerja pula, Cik Fatin Nadzirah seorang kakitangan awam berusia 24 tahun turut berpendapat sedemikian dengan berkata:
"Saya kira aturan kerja dari rumah sejak April lali telah menjejas keseimbangan kehidupan kerja dan rehat kami, jadi saya harap apabila kami pulang ke tempat kerja, kami tidak perlu membawa pulang tugas kami."
Seorang juruaudit Encik Adil Afiq, 26 tahun pula berkata, keadaan Covid-19 sekarang yang lebih terkawal membuat pekerja lebih selesa pulang ke pejabat.
Laporan lanjut: Tugas di pejabat jika perlu peralatan, kemudahan tertentu

