BERIKUTAN kematian seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang ditimpa struktur papan bola keranjang di Bedok, kebanyakan majlis bandaran telah menyelesaikan pemeriksaan ke atas struktur bola keranjang yang mereka uruskan.
Pengerusi penyelaras majlis bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Lim Biow Chuan, berkata jika struktur tersebut dianggap selamat, majlis bandaran mempunyai budi bicara membuka kemudahan itu kepada penduduk.
"Sebilangan mungkin ditutup kerana penyelenggaraan atau kerana langkah pengurusan selamat," tambahnya.
Pada petang 26 Julai lalu, remaja berkenaan, Mohd Ridwan, sedang bermain bola keranjang dengan seorang rakan di gelanggang berhampiran Blok 18 Bedok South Road apabila struktur papan belakang gelung bola keranjang jatuh menimpanya.
Pelajar Institut Pendidikan Teknikal Kolej Central itu tidak sedarkan diri ketika dibawa ke Hospital Besar Changi, di mana dia meninggal dunia. Salinan sijil kematiannya menyatakan kematiannya disebabkan kecederaan kepala.
Siasatan kematiannya masih dijalankan.
Secara berasingan, struktur bola keranjang terletak di empat penjuru dan dikatakan memberikan kestabilan lebih baik daripada struktur tunggal bebas yang dipasang di enam stadium ActiveSG tahun ini.
Stadium-stadium itu ialah di Yio Chu Kang, Choa Chu Kang, Woodlands, Bedok, Clementi dan Serangoon.
Laporan The Straits Times menyatakan bahawa pemasangan struktur gelung baru atau hoop tidak berkaitan dengan kematian Ridwan.
Keempat-empat tiang struktur gelung itu diletakkan di luar kawasan permainan dan dikukuhkan dengan alat sokongan demi keselamatan pemain.
Jurucakap Sport Singapore berkata: "Bahagian belakang struktur bola keranjang baru dirancang dan dibina berdasarkan sistem Truss dan bertapak di empat sudut, memberikan kestabilan yang kuat."
Struktur itu digunakan semasa pertandingan bola keranjang untuk kanak-kanak di bawah umur 10 tahun di Yio Chu Kang pada Ogos, dan mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa, jurulatih dan rakan kongsi, kata jurucakap itu.
"ActiveSG akan mengkaji dan memperluasnya kepada lebih banyak tempat, di mana mungkin," kata jurucakap itu.
Ibu Ridwan, Cik Rahimah Lee Abdullah, 62 tahun, kadangkala pergi ke tempat kejadian dan melihat bunga yang ditinggalkan orang awam di sana.
Bola keranjang masih disimpan di tepi ruang bilik tamu flatnya di Bedok. Malah, beliau memastikan telefon anaknya tetap dicaj.
Atenden petrol itu menyatakan, kawan-kawan anaknya kerap melawatnya dan pergi ke bilik Allahyarham.
"Kadangkala, saya merasakan beliau masih berada di sini,'' katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg