Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majlis sederhana tetap istimewa

Aug 1, 2022 | 5:30 AM
MAJLIS IDAMAN: Pasangan pengantin mengundang mereka yang rapat sahaja - 70 orang bagi pihak Cik Nor Allysa dan 30 orang dari pihak suaminya. - Foto ihsan NOR ALLYSA SAHLAN
MAJLIS IDAMAN: Pasangan pengantin mengundang mereka yang rapat sahaja - 70 orang bagi pihak Cik Nor Allysa dan 30 orang dari pihak suaminya. - Foto ihsan NOR ALLYSA SAHLAN -

SEDANG ramai wanita mengimpikan majlis walimah besar-besaran bagi meraikan hari istimewa sebagai permaisuri sehari, Cik Nor Allysa Fatin Sahlan pula sebaliknya.

Sejak dulu beliau telah memberitahu ibunya tentang majlis idamannya- disambut sederhana dengan hanya keluarga paling rapat yang hadir.

Malah, beliau pernah menyuarakan keinginannya bernikah di rumah, sepertimana yang dilakukan ketiga-tiga kakaknya, meskipun sebelum tempoh pandemik.

Lantaran itu, apabila perlu merancang untuk mengadakan majlis persandingan mereka dengan jumlah undangan yang terhad dek sekatan Covid-19, Cik Nor Allysa, 29 tahun, dan suami, Encik Ridzawi Suib, 32 tahun, langsung tidak 'goyah' dan memutuskan untuk hanya menjemput 100 tetamu.

Apabila Singapura melonggarkan pelbagai sekatan Covid-19 di sini April lalu, pasangan tersebut diberi pilihan untuk menambah jumlah tetamu undangan bagi majlis yang diadakan di NUSS Guild House @ Kent Ridge itu.

Namun, mereka tetap dengan keputusan mereka untuk sekadar mengundang yang 'dekat-dekat' sahaja - 70 orang bagi pihak Cik Nor Allysa dan 30 orang dari pihak suaminya.

"Ibu saya ada suarakan juga nak tambah lebih ramai tetamu, dan ada beberapa anggota keluarga juga yang ingin sumbang kos untuk tambah undangan.

"Namun bagi kami, apa yang dah dirancang dah cukup bagus dan kami juga gembira, yang mana perlu sudah pun dijemput," katanya.

Tambahan lagi, pasangan itu lebih rela menggunakan wang simpanan yang dikumpul sendiri bagi membiayai perbelanjaan majlis perkahwinan mereka.

Mereka telah menempah pakej pengantin yang merangkumi tempat, dekor, katering, pakaian dan solekan, serta jurufoto dan juruvideo dari The Pink Lolly pada harga sekitar $9,000.

Namun, perbelanjaan keseluruhannya termasuk dulang dan bunga rampai, mencecah sekitar $20,000, menurut Cik Nor Allysa.

"Memang sebelum ini kita kerja keras untuk kumpul duit, suami saya juga sampai ambil dua pekerjaan sambilan lain.

"Jadi, kami juga fikir kalau nak tambah undangan, kena ikat perut lagi dan kumpul lagi, jadi bagi kami macam tak perlu belanja banyak-banyak sedangkan apa yang ada sudah memadai," katanya yang bertugas sebagai seorang penyambut tetamu.

Suaminya, Encik Ridzawi, pula menambah pendapatan dengan bekerja sambilan sebagai tukang masak di restoran dan bekerja di gudang, sementara bertugas sepenuh masa sebagai teknisyen syif malam.

"Sekarang memang lebih ramai pasangan yang ingin majlis yang 'memorable' tapi pada masa yang sama tak mahu buat terlalu besar-besaran.

"Ramai juga yang anggap, kalau buat besar sangat, orang cakap, kalau buat sampai tak ada majlis pun orang cakap, jadi buat sederhana juga lebih baik," katanya. -

"Memang sebelum ini kita kerja keras untuk kumpul duit, suami saya juga sampai ambil dua pekerjaan sambilan lain.

Jadi, kami juga fikir kalau nak tambah undangan, kena ikat perut lagi dan kumpul lagi, jadi bagi kami macam tak perlu belanja banyak-banyak sedangkan apa yang ada sudah memadai.''

- Cik Nor Allysa Fatin Sahlan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg