TIMBALAN Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, semalam mengumumkan bayaran sekali $600 akan disalurkan kepada hampir setiap warga Singapura esok.
Ini bagi membolehkan rakyat negara ini menampung keperluan mereka di tengah-tengah ketidaktentuan disebabkan pandemik Covid-19. Bayaran Pakej Kesepakatan ini akan disalurkan ke akaun bank individu yang berusia 21 tahun ke atas.
Ini dinyatakan Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan, semasa diwawancara saluran radio CNA938.
"Saya harap ia dapat membantu, terutama sekali keluarga berpendapatan rendah, untuk mengharungi masa yang sukar ini," katanya ketika wawancara tersebut.
Dalam kenyataannya, Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan 90 peratus penerima yang telah memberi butiran akaun bank mereka kepada pemerintah akan menerima bayaran tersebut di dalam akaun bank mereka esok.
Ini termasuk mereka yang pernah menerima pembayaran tunai seperti SG Bonus pada 2018, atau Baucar GST - Tunai (Bayaran Dwiabad) pada tahun lalu, jika layak.
Sementara itu bagi yang tidak mempunyai akaun bank, akan menerima cek yang akan dikirimkan ke alamat rumah mereka.
Warga dewasa Singapura yang tidak memberikan butiran akaun bank pada 23 April akan menerima cek yang akan dihantar ke alamat yang tertera di kad pengenalan mereka secara bertahap-tahap mulai 30 April ini.
"Bagi sekumpulan kecil individu yang tidak mempunyai akaun bank, sekiranya kita tidak ada butiran bank mereka, kami akan mengirimkan cek menerusi pos.
"Jadi saya harap mereka dapat mendaftar dan berikan butiran akaun bank mereka lebih awal sebelum 23 April," kata Encik Heng lagi.
Semalam juga merupakan hari keenam kawalan 'pemutus litar' berkuat kuasa sejak ia diperkenalkan Selasa lalu, dengan tindakan diperketat diberikan kepada mereka yang gagal mematuhi langkah keselamatan serta arahan pihak pemerintah.
Sepanjang tempoh kawalan 'pemutus litar' ini, Singapura juga telah mempertingkatkan lagi langkah-langkah bagi mengekang penularan virus ini di kalangan masyarakat.
Ini termasuk mewajibkan semua orang menggunakan pelitup semasa menggunakan pengangkutan awam atau memasuki 40 pasar yang diurus oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) atau diurus pengendali yang dilantik NEA.
Tinjauan Berita Harian ke tempat tarikan masyarakat menunjukkan warga Singapura rata-rata mematuhi langkah 'pemutus litar' dengan ramai yang mengamalkan jarak selamat.
Namun ada segelintir yang masih melanggar peraturan.
Sejak cuti hujung minggu bermula Jumaat lalu, NEA mengeluarkan 32 saman dan 120 amaran tegas bertulis terhadap mereka yang gagal mematuhi langkah jarak selamat. Bantuan polis juga diperlukan untuk 28 kes ini.
Dalam perkembangan di luar negara pula, jumlah kes jangkitan di seluruh dunia semakin membimbangkan.
Pusat Rujukan Koronavirus Universiti dan Perubatan John Hopkins kelmarin melaporkan Amerika Syarikat kini muncul sebagai pusat utama penularan pandemik Covid-19 di dunia, dengan jumlah kes dihadapinya mencapai 526,396 manakala 20,463 orang terkorban.
Sehingga semalam dunia kini menyaksikan sejumlah 1,771,514 kes positif dengan 108,702 kematian.
"Saya harap ia dapat membantu, terutama sekali keluarga berpendapatan rendah, untuk mengharungi masa yang sukar ini." - Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Encik Heng Swee Keat


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg