HARI-HARI terakhir dramatis veteran Zainon Ismail yang lebih mesra dengan panggilan Mak Otek dipenuhi dengan kasih sayang dan keceriaan meskipun beliau tidak mampu lagi berkata-kata selepas diserang angin ahmar pada September tahun lalu.
Di sebalik segalanya, Mak Otek, panggilan mesra yang 'melekat' dengannya dek watak dalam siri drama televisyen Melayu pertama pada 1966, Pak Awang Temberang, memberi respons gerak mata dan tubuh tanda besar hati dengan kunjungan ramai teman seni yang mendoakannya.
Begitulah perkongsian anak sulung Mak Otek, Cik Fareena Mehr Omar, 44 tahun, kepada Berita Minggu, tatkala mengesahkan pemergian ibunya yang berusia 77 tahun sekitar 5.55 petang kelmarin.
"Alhamdulillah, ibu saya pergi dengan tenang setelah beberapa bulan dirawat di rumah. Selepas diserang strok, beliau dirawat di hospital selama tiga bulan.
"Isnin lalu, kami kesan keadaan kesihatannya mula merosot. Degupan jantungnya lemah walaupun tekanan darahnya stabil," jelas Cik Fareena.
Beliau menyifatkan ibunya sebagai anak seni dan usahawan andaman serta masak-memasak yang gigih memberi jiwa raga buat masyarakat.
"Arwah ibu memanfaatkan setiap detik hidupnya dengan nyala rasa yang tidak pernah terpadam, baik dalam bidang seni atau perniagaan.
"Orangnya murah hati dan prihatin terhadap keperluan orang lain. Beliau mengajar saya erti ihsan dalam menolong orang kerana itulah yang akan membawa keberkatan dalam hidup kita," tambahnya.
Sepanjang musim Lebaran lalu, Cik Fareena bersyukur ramai teman ibunya yang datang berkunjung bagi mendoakan Mak Otek dan memberinya kata-kata semangat.
"Saya ucapkan terima kasih atas ingatan mereka pada ibu saya dan kerana dapat membahagiakannya di saat-saat akhir," kata Cik Fareena.
Mak Otek adalah antara artis Singapura yang dibantu Kempen Sinar Kasih, hasil kerjasama dua badan Melayu, Prihatin (Penggiat Seni Melayu Singapura) dan Perkumpulan Seni bersama Mediacorp.
Allahyarhamha yang juga menghidap penyakit ginjal dan kencing manis bermula sebagai pelakon teater arahan Bani Buang, Ribut, di Panggung Victoria pada 1962.
Beliau kemudian beralih ke sandiwara televisyen dan drama radio. Mak Otek juga pernah menjadi petugas di Persatuan Rakyat (PA) dan giat melakukan kerja kebajikan.
Mengenang sumbangan beliau, penggiat seni veteran, M. Saffri A. Manaf berkata:
"Jasa Mak Otek banyak dalam dunia pentas, radio dan televisyen sejak era Pak Awang Temberang hingga akhir 2018. Lakonannya bersahaja.
"Sewaktu saya mengunjunginya, beliau tidak lagi bersuara. Matanya memandang tepat pada kami, seolah-olah berkata, 'Terima kasih'."
Penerbit kandungan digital, Cik Siti Aminah Ismail, yang pernah mewawancara Mak Otek pula berkata:
"Mak Otek permata seni yang tegas, serba boleh, miliki disiplin kerja dan kesungguhan."
Allahyarhamha meninggalkan dua anak dan tiga cucu. Jenazahnya selamat dikebumikan semalam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg