BENDERA Singapura tidak lama lagi boleh digunakan dengan lebih bebas oleh syarikat dan individu semasa tempoh Hari Kebangsaan, di bawah pelonggaran undang-undang yang disarankan mengenai penggunaan simbol negara.
Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) kini menjemput orang ramai memberi maklum balas mengenai saranan tersebut.
MCCY semalam berkata ia berhasrat menggantikan Akta Senjata, Bendera dan Lagu Kebangsaan (Safna) sedia ada dengan Akta Simbol Negara.
Akta baru itu akan mempunyai peruntukan yang membolehkan orang ramai menggunakan bendera negara pada pakaian dan produk lain tanpa kelulusan, terutama antara Julai dengan September
MCCY semalam berkata ia berhasrat untuk menggantikan peraturan dan Akta Senjata, Bendera dan Lagu Kebangsaan (Safna) Singapura semasa dengan Akta Simbol Negara dan peraturan berkaitan baru, yang akan menambah keadaan yang membolehkan orang ramai menggunakan bendera negara pada pakaian dan produk lain tanpa kelulusan, terutama antara Julai dengan September.
Bagaimanapun, denda maksimum bagi penyalahgunaan simbol negara akan dinaikkan 30 kali ganda daripada $1,000 kepada $30,000 untuk menghalang penggunaan tidak sopan dalam konteks yang kurang dikawal ini.
Mereka yang dianggap menyalahgunakan simbol dengan sengaja juga boleh dipenjara hingga enam bulan.
Kementerian itu berharap peraturan baru tersebut akan membantu orang ramai merasakan pemilikan yang lebih terhadap simbol negara, sambil terus melindungi kesucian simbol-simbol itu, yang dikatakan merupakan dua keprihatinan utama yang diperoleh daripada maklum balas orang ramai setakat ini.
Perundingan awam hingga 8 Julai itu sebahagian daripada semakan berterusan ke atas peraturan berkaitan simbol negara, dan berkemungkinan menghasilkan rang undang-undang pindaan di Parlimen menjelang hujung tahun ini.
Perubahan yang disarankan MCCY kebanyakannya berkaitan penggunaan bendera kebangsaan.
Jika diluluskan, adalah tidak menjadi kesalahan meletakkannya pada pakaian bagi tujuan bukan komersial sepanjang tahun tanpa memerlukan kelulusan.
Di bawah Safna kelulusan diperlukan.
Semasa tempoh Hari Kebangsaan dari Julai hingga September, orang ramai boleh menggunakannya untuk hiasan seperti pelekat dan poster tanpa perlu memohon permit.
Syarikat juga boleh menggunakannya bagi tujuan komersial atau pengiklanan, selagi penggunaannya dilakukan secara sopan.
Namun apabila penggunaan bendera negara itu dianggap sebagai tidak sopan, orang yang dilantik, seperti Presiden atau menteri, boleh mengeluarkan perintah menghentikan perbuatan tersebut.
MCCY memilih tidak mengubah pendiriannya mengenai larangan menggunakan bendera negara pada penutup seperti alas meja dan bekas seperti cawan dan juga pada perabot.
Rundingan awam itu akan berakhir pada 6 petang 8 Julai, dan orang ramai boleh mengemukakan pandangan mereka di laman reach.gov.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg