KETERANGAN peribadi sekitar 1.1 juta pengguna RedMart telah dicuri daripada pangkalan data pelanggan dan dijual dalam forum dalam talian.
Butiran tersebut termasuk nama, nombor telefon dan sebahagian nombor kad kredit pengguna.
Akhbar The Straits Times melaporkan jurucakap Lazada telah mengesahkan pencerobohan data itu sebagaimana yang dilaporkan rencana CNA pada Jumaat (30 Oktober).
Syarikat e-dagang Lazada adalah pemilik khidmat kiriman barangan dapur tempatan Redmart.
Dalam kenyataannya, jurucakap itu berkata maklumat yang dicuri itu adalah daripada pangkalan data Redmart yang tidak dikemaskinikan sejak lebih 18 bulan lalu, sekitar Mac lalu.
Jurucakap itu menambah, syarikatnya menyedari tentang individu yang mengaku mempunyai maklumat berkenaan dengan tindakan segera sudah dilakukan bagi mengekang akses tanpa izin pada pangkalan data itu.
Lazada sedang menyiasat isu pencerobohan data ini dan telah memaklumkannya kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC).
Jurucakap PDPC pula menjelaskan pihak suruhanjaya mengetahui tentang kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan.
Lazada sedang dalam proses memaklumkan kepada pelanggan yang terjejas agar menukar butiran 'log-in' atau log-masuk mereka sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurut laporan CNA itu, maklumat yang diperolehi telah disenaraikan dalam laman yang mendakwa mempunyai data peribadi daripada pelbagai wadah e-dagang serata dunia untuk dijual.
The Straits Times telah menghubungi Lazada bagi mendapatkan ulasan lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg