Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Makmal baru persiap S’pura harungi pandemik masa depan

CBRNE@Changi mampu ganda bilangan sampel untuk diuji, kurangkan masa ujian
Jan 16, 2026 | 6:47 PM
Makmal baru, persiap S’pura harungi pandemik,  CBRNE@Changi
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam (depan, kiri) dibawa sekitar makmal baru CBRNE@Changi yang dibangunkan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) dengan sokongan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) serta Changi Airport Group (CAG). - Foto ST

Sebuah makmal kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNE) baru telah dibina dan dilancarkan di Pusat Kargo Udara Changi pada 16 Januari untuk menangani pandemik masa hadapan dengan lebih baik.

Dikenali sebagai CBRNE@Changi, makmal itu dibangunkan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) dengan sokongan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) serta Changi Airport Group (CAG).

Makmal baru itu dibina berikutan pengajaran daripada pengalaman ketika wabak Covid-19 melanda enam tahun lalu.

Setelah kes pertama Covid-19 disahkan di Singapura pada 23 Januari 2020, kemudahan ujian menjadi satu keperluan yang terdesak, dengan HTX terpaksa mengubah suai makmalnya di Pasir Panjang untuk menguji virus tersebut.

Ini menjejas keupayaan ujian kargo makmal tersebut dek keperluan menjalankan ujian Covid-19 sepanjang masa.

Justeru CBRNE@Changi ditubuhkan untuk memperbaiki kebolehan Singapura menangani pandemik masa hadapan dengan lebih baik dan pantas.

“Kami terus menaik taraf kemudahan kami. Kami mempunyai kemudahan ujian di Woodlands, Tuas, Pasir Panjang... ini adalah yang keempat.

“Kami boleh mengambil bahan kimia dengan cepat... dan membawanya ke sini. Adalah baik untuk mempunyai kemudahan di lokasi berhampiran lapangan terbang.

“Pada masa lalu, kami menghantarnya ke Pasir Panjang atau Woodlands – ini mengambil masa,” kata Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, pada pelancaran makmal baru itu.

CBRNE@Changi menggandakan bilangan sampel yang boleh diuji semasa pandemik dan mengurangkan masa yang diambil daripada enam jam kepada empat jam. Ini kerana peralatan baru boleh mendigitalkan proses ujian.

Misalnya, ia menggunakan sistem pengenalpastian frekuensi radio yang membolehkan 96 sampel didaftarkan dalam satu masa.

Sebelum ini, saintis menghabiskan banyak masa mendaftarkan setiap sampel secara manual.

Kemudahan baru itu mempunyai tiga zon makmal, termasuk satu yang dikhaskan untuk operasi CBRNE seperti menguji sampel swab kargo dari Lapangan Terbang Changi.

Dua lagi kawasan makmal adalah untuk aliran kerja klinikal dan penyelidikan.

Semasa pandemik, kawasan CBRNE akan diasingkan daripada kawasan lain yang akan digunakan untuk ujian pandemik, lantas membolehkan operasi di kededua belah pihak diteruskan dengan gangguan yang minimum.

Pemisahan dilakukan dengan mengaktifkan koridor berkunci udara yang direka khas untuk mencegah pencemaran silang.

Kemudahan baru itu juga meningkatkan kapasiti ujian sampel kargo sebanyak 10 kali ganda.

Kerja yang dilakukan di makmal baru itu merangkumi penyelidikan melibatkan keseluruhan set molekul biologi – seperti semua gen dan protein dalam organisma – untuk memahami bagaimana komponen ini berinteraksi secara keseluruhan.

Penyelidikan sedemikian memberi manfaat kepada keselamatan sempadan kerana ia membantu membangunkan alat untuk mengenal pasti ancaman biologi dengan lebih baik.

Satu lagi projek utama di makmal itu ialah pembangunan spektrometer jisim mudah alih.

Prototaip mesin ini bersaiz lebih kurang seperti ketuhar gelombang mikro dan boleh menguji pelbagai sebatian dalam 30 saat.

Ini dibandingkan dengan alat ujian yang jauh lebih besar, yang mengambil masa antara 30 minit dengan satu jam.

Sebatian yang boleh diuji oleh spektrometer itu termasuk dadah terkawal seperti etomidate yang digunakan dalam vape yang telah disenaraikan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Semasa pelancaran CBRNE@Changi, Encik Shanmugam berkata dunia semakin berubah dan ancaman juga berkembang.

“Mungkin ada yang tertanya kenapa (perlu ada makmal sedemikian) kerana Covid-19 sudah beransur.

“Apabila pandemik seterusnya melanda, kita tidak akan mempunyai masa untuk mempersiapkan diri. Oleh itu, dengan pengajaran yang telah digarap, kami membangunkan kemudahan canggih bagi ujian semasa pandemik,” jelas beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg