Topic followed successfully
Go to BHkuMakmal baru Politeknik Republic dilancar
Makmal baru Politeknik Republic dilancar
Teknologi Mampan dan Penyelidikan Analitikal (STAR Lab) hasil kerjasama dengan Shimadzu (Asia Pasifik) Pte Ltd
Makmal baru Politeknik Republic dilancar
POLITEKNIK Republic (RP) telah melancarkan sebuah makmal baru untuk Teknologi Mampan dan Penyelidikan Analitikal (STAR Lab) semalam semasa rumah terbukanya.
STAR Lab dilancarkan dengan kerjasama Shimadzu (Asia Pasifik) Pte Ltd, pengeluar peralatan perubatan berpangkalan di Jepun.
Pelancaran itu diserikan oleh tetamu terhormat, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, yang merasmikan pembukaan STAR Lab.
Seramai 400 pelajar RP setiap tahun dari Sekolah Sains Gunaan akan mendapat manfaat daripada makmal tersebut.
Ia bertujuan untuk merangsang inovasi dan menyokong pembangunan bakat dalam bidang seperti agrim-makanan, nutraseutikal, bahan mampan dan bahan kimia khusus.
Makmal seluas 3,000 kaki persegi itu merupakan kemudahan pertama di Institut Pengajian Tinggi (IHL) di Singapura yang mempunyai instrumen analisisnya disambungkan kepada sistem pengawanan.
Sistem pengawanan itu membolehkan kakitangan dan pelajar memantau eksperimen dari jauh dan mengumpul serta menganalisis data dalam masa nyata.
Seorang pelajar yang mendapat manfaat daripada makmal itu adalah Encik Muhammad Shafiq Mohd Raffi, 21 tahun.
"Sistem awan itu sangat berguna kerana saya tidak perlu lagi berada di makmal untuk memantau eksperimen saya. Saya boleh berbuat demikian melalui komputer riba atau telefon bijak saya walaupun di luar sekolah.
"Ia memberi saya banyak masa dan membolehkan saya bekerja pada perkara lain, menjadikan saya lebih produktif," kata Encik Shafiq, pelajar Diploma tahun kedua dalam Kimia Gunaan.
Seorang lagi pelajar, Cik Nur Nabilah Azlan, 20 tahun, berkata makmal itu membantu memberikannya pengalaman pendidikan yang lebih lengkap.
"Saya dapat mengambil apa yang saya pelajari di dalam kelas dan menerapkan konsep ke dalam makmal. Ia melengkapi apa yang saya pelajari semasa pelajaran teori," ujar Cik Nabilah, pelajar Diploma Sains Bahan tahun ketiga.
Cik Aliza Ramli, Pengerusi Program bagi Diploma Sains Bioperubatan, berkongsi bahawa STAR Lab dilengkapi dengan peralatan yang digunakan dalam industri.
"Memandangkan pelajar sudah menggunakan peralatan yang digunakan dalam industri, mereka akan biasa dengan dengan peralatan tersebut apabila memasuki tenaga kerja pada masa hadapan," katanya.
Ini selaras dengan apa dikatakan Pengetua/Ketua Pegawai Eksekutif RP, Encik Yeo Li Pheow, yang menekan kepentingan bagi RP untuk memberi pelajarnya pendedahan dunia sebenar dan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang berkaitan.
Encik Yeo, bersama Encik Tetsuya Tanigaki, Pengarah Urusan Shimadzu, menandatangani pembaharuan Memorandum Persefahaman (MOU) antara RP dan Shimadzu selama tiga tahun lagi untuk meneruskan dan menyediakan peluang latihan untuk pelajar dari Sekolah untuk Sains Gunaan.
"MOU dengan Shimadzu akan membuka jalan kepada inisiatif bersama dalam meneruskan peluang pendidikan seperti lampiran kerja dan pertandingan," kata Encik Yeo.
Encik Tanigaki berharap dengan melancarkan STAR Lab, RP dan Shimadzu dapat memupuk generasi peneraju seterusnya dalam bidang sains dan teknologi.
"Dengan STAR Lab, pelajar akan dilatih untuk menjadi pemimpin sains masa depan. Mereka akan menyaksikan teknologi canggih secara langsung dan menjadi saintis moden yang boleh menggunakan alat data untuk mendapatkan pandangan baru," kata Encik Tanigaki.

