Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: Ejen hartanah perlu tingkat kesedaran pembeli tentang kemampuan, dasar HDB

Dec 22, 2020 | 5:30 AM
CABARAN SEKTOR HARTANAH: Seramai 15 ejen hartanah meluahkan cabaran yang mereka hadapi dalam suasana pandemik Covid-19 dalam dialog yang turut disertai Dr Maliki. - Foto BH
CABARAN SEKTOR HARTANAH: Seramai 15 ejen hartanah meluahkan cabaran yang mereka hadapi dalam suasana pandemik Covid-19 dalam dialog yang turut disertai Dr Maliki. - Foto BH -

SITUASI serta cabaran yang dihadapi sektor hartanah dan juga pelanggan mereka dalam keadaan pandemik Covid-19 diketengahkan dalam sesi dialog anjuran Berita Harian semalam.

Antara yang dibangkitkan dalam perbincangan tersebut termasuk isu kuota etnik juga isu berkaitan perceraian dan bagaimana ia menjejas hartanah mereka.

Selain itu, kebajikan ejen hartanah turut diketengahkan dalam dialog tersebut yang turut disertai Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.

Seramai 15 ejen hartanah telah menyertai dialog tersebut dari syarikat seperti PropNex Realty Pte Ltd, ERA Realty Network Pte Ltd, Orangetee & Tie Pte Ltd, Cityhomes Pte Ltd, Huttons Asia Pte Ltd, dan Singapore Realtors Inc.

Antaranya termasuk Nizam Adli Saparin (PropNex), Nona Kirana (ERA), Taufik Batisah (PropNex), Susan Mariam(Orangetee & Tie) dan Azan Ariffin (Orangetee & Tie).

Dr Maliki berkata pemerintah prihatin terhadap kesukaran yang dialami dalam suasana pandemik, terutama sekali mereka yang bekerja sendiri dan yang mempunyai pendapatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Pemerintah prihatin akan keadaan mereka yang ingin menjual flat atau mempunyai kesukaran membayar duit bulanan rumah, seboleh mana HDB akan bantu misalnya dengan memberi peluang kepada penghuni flat menganjakkan tempoh pembayaran," katanya.

Bagaimanapun Dr Maliki akur akan kes-kes di mana terdapat penjual yang terdesak perlu menjual flat.

"Kalau perlu dan terdesak HDB akan membantu untuk memastikan krisis yang mereka hadapi dapat diselesaikan.

"Ini yang dapat kita lakukan untuk mengurangkan beban mereka," ujarnya.

Sementara itu, Dr Maliki menggesa ejen hartanah untuk membantu meningkatkan kesedaran pelanggan mereka berkaitan urusan jual beli hartanah, terutama sekali dalam memahami dasar HDB dan juga mempertimbangkan kemampuan mereka sendiri.

Katanya kepada semua ejen hartanah: "Yang penting adalah kita perlu bekerjasama tingkatkan kesedaran supaya anggota masyarakat faham dengan implikasi terhadap keputusan mereka (dalam urusan jual beli hartanah)."

Dr Maliki menambah segala maklum balas yang diterima akan disampaikan kepada HDB untuk memperbaiki proses yang dilalui ejen hartanah dan juga pelanggan mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg