MENTERI Kedua Ehwal Luar, Dr Maliki Osman, akan mengadakan kunjungan bekerja lima hari ke Kelantan dan Terengganu bermula Sabtu.

Kunjungan itu, yang berlangsung sehingga 19 April, adalah sebahagian usaha Singapura untuk memperkukuh hubungan dengan negeri-negeri di Malaysia dan meneroka bidang kerjasama baru, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataannya.

Di Terengganu, Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua Pendidikan dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), akan bertemu Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Sultan Mahmud, dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Di Kelantan, beliau akan bertemu Tengku Mahkota Kelantan, Dr Muhammad Fa-iz Petra Ismail Petra.

Dr Maliki juga akan bertemu pemimpin lain dan pegawai kerajaan di kededua negeri itu.

Selain itu, beliau juga akan berinteraksi dengan pelajar dari Universiti Malaysia Terengganu.

Dr Maliki akan diiringi pegawai dari MFA semasa lawatan itu.