MENTERI Negara Kanan (Pertahanan & Kementerian Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, melahirkan keprihatinan terhadap nasib para peniaga kecil-kecilan yang terjejas mata pencarian akibat pandemik Covid-19.
Menerusi catatannya di Facebook, Dr Mohamad Maliki mengakui wabak Covid-19 "benar-benar menguji kita semua selain menjejas banyak perkara termasuk pekerjaan dan pendapatan; pendek kata kehidupan ramai masyarakat dunia".
Malah, juga kecewa apabila Bazar Geylang Serai terpaksa dibatalkan - menyebabkan ramai peniaga musiman terjejas.
"Kita tidak terkecuali daripadanya. Justeru saya amat prihatin dan memahami keresahan dan kekecewaan setiap penduduk kita, khususnya mereka yang kehilangan mata pencarian dalam tempoh sukar ini.
"Ini termasuk para peniaga kecil-kecilan di rumah (Home-Based Businesses) yang mengharapkan sumber pendapatan daripada tempahan bulan Ramadan dan Syawal nanti.
"Bagi seseorang yang menyokong daya usaha peniaga kecil-kecilan sebegini, tentunya saya sedih dan kecewa," katanya.
Terangnya, masyarakat perlu mematuhi peraturan pemutus litar penyakit Covid-19 yang turut menjejas bukan saja peniaga Melayu tetapi masyarakat lain juga.
"Kalau situasinya seperti sebelum Covid-19, sememangnya kita tidak akan mengekang semangat keusahawanan ini.
"Malah semangat ingin berdikari ini memang harus kita pupuk dan sokong sepenuhnya. Namun keadaannya kini berbeza, kita sekarang melalui tempoh situasi dan konteks yang berlainan sekali, di mana kepentingan keselamatan dan kesihatan penduduk dan masyarakat harus menjadi keutamaan kita," terangnya.
Pandemik ini katanya, menguji warga sebagai sebuah masyarakat dan juga umat Islam dengan pelbagai cabaran.
"Namun kita harus tempuhinya dengan tabah serta minda yang terbuka dan berazam untuk sama-sama mengatasi krisis ini dengan segera. Hanya dengan mematuhi langkah-langkah yang dikenakan semasa tempoh CB ini dapat kita sama-sama berusaha berganding bahu agar keadaan menjadi lebih baik kelak," ujarnya dan harap cabaran yang ditempuhi ini dapat diatasi lebih awal.
"Agar mereka yang terjejas dapat kembali berniaga dan memenuhi keperluan masyarakat bagi persiapan Lebaran nanti," mengakhiri catatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg