Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: Pekerja sosial perlu faham dasar pemerintah, bantu klien dengan empati

Mar 17, 2022 | 5:30 AM
FAHAMI PELANGGAN: Dr Maliki berkata pekerja sosial perlu memahami, menghargai dan bersikap empati terhadap niat setiap dasar, sedang mereka cuba untuk mewakili klien. - Foto BH oleh ERWIN YUHANIS
FAHAMI PELANGGAN: Dr Maliki berkata pekerja sosial perlu memahami, menghargai dan bersikap empati terhadap niat setiap dasar, sedang mereka cuba untuk mewakili klien. - Foto BH oleh ERWIN YUHANIS -

PEKERJA sosial pastinya akan berasa kecewa sekiranya usaha mereka untuk merayu kepada agensi pemerintah bagi pihak klien mereka untuk mendapatkan bantuan atau kelonggaran terhadap dasar pemerintah, bertemu jalan buntu.

Namun daripada melihat agensi ini sebagai musuh, adalah penting untuk pekerja sosial memahami niat sebenar dasar-dasar tersebut dan memberitahunya kepada klien dengan cara yang munasabah bagi masyarakat, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman

Beliau berkata demikian semasa satu seminar anjuran pusat khusus keganasan keluarga, Pave, sempena Hari Pekerja Sosial, di Grassroots Club dekat Ang Mo Kio, kelmarin.

Sekitar 100 orang telah menghadiri seminar itu yang merangkumi pegawai daripada pelbagai agensi, serta para pelajar politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang kerja sosial.

Dalam ucapannya, Dr Maliki, yang juga seorang pekerja sosial yang terlatih dan mengajar kerja sosial di Universiti Nasional Singapura (NUS) sebelum memasuki politik berkata, pekerja sosial perlu memahami, menghargai dan bersikap empati terhadap niat setiap dasar, sedang mereka cuba untuk mewakili klien.

Memberikan contoh tentang penggantungan 30 bulan yang tidak membenarkan sesiapa menyewa unit daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) selepas menjual flat HDB mereka.

Dr Maliki menukil kes di mana sebuah pasangan telah cuba untuk menyalah guna sistem dengan meminta pekerja sosial mendapatkan flat sewa bagi ibu bapa mereka yang sudah lanjut usia agar mereka dapat menyewakan bilik dalam flat mereka untuk meraih pendapatan tambahan.

"Sistem yang ada dilaksanakan berdasarkan nilai tertentu dalam masyarakat.

"Satu, kita mahukan keluarga memegang tanggungjawab menjaga anggota keluarga mereka dan kedua, berjimat dalam membelanjakan sumber pemerintah, agar lebih adil kepada semua dalam masyarakat," katanya.

Tetapi pada masa yang sama, pekerja sosial juga boleh memberikan kesan terhadap dasar, kata pekerja sosial mapan dan pengasas Pave, Dr Sudha Nair.

Apabila pekerja sosial memperjuangkan hak untuk klien mereka dengan cara hormat, memahami pandangan pihak berkuasa dan mencapai kata sepakat, Dr Nair berkata pihak berkuasa akan mendengar dan membuat perubahan, seperti mana yang telah beliau saksikan sepanjang pengalamannya selama 30 tahun dalam bidang kerja sosial.

Beliau memberi contoh bagaimana pemerintah menggubah undang-undang dalam masa lima bulan selepas mendengar kisah seorang wanita yang teruk didera oleh kekasihnya tetapi tidak boleh mendapatkan perlindungan kerana tidak berkahwin dengan penderanya.

Sebelum ini, mangsa yang belum berkahwin tidak boleh memohon untuk perintah perlindungan peribadi di bawah Piagam Wanita, dan ia memerlukan masa untuk mendapatkan perlindungan menerusi rayuan majistret atau di bawah perlindungan daripada Akta Gangguan (Poha)

Pindaan kepada Poha diluluskan pada 2019, untuk menyertakan perlindungan bagi pasangan yang belum berkahwin.

Selain Dr Nair, Dr Timothy Sim, yang kini membangunkan latihan terapi keluarga dan kaunseling di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) turut berucap dalam seminar tersebut.

Pelajar ITE yang turut serta dalam seminar tersebut berkata seminar tersebut telah memberi inspirasi kepada mereka agar terus berkhidmat kepada masyarakat.

Cik Adlin Addina Azmi, 17 tahun daripada ITE Kolej Timur yang sedang mengikuti bidang jagaan masyarakat dan khidmat sosial berkata banyak yang telah beliau pelajari dan boleh memanfaatkannya apabila belajar dan bekerja kelak.

"Saya sendiri pernah mengharungi pelbagai cabaran tetapi saya dapat mengatasinya atas bantuan yang diterima, justeru ini yang membakar semangat saya untuk mahu menyumbang kembali kepada masyarakat agar dapat membantu orang lain yang memerlukan," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg