Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) akan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan perubatan di Arab Saudi untuk menyokong jururawat dan doktor dari Singapura yang mengiringi jemaah haji Singapura pada 2024.
SPAO juga telah melantik 10 karyawan perubatan sebagai pegawai kebajikan untuk bertugas dengan ejen pelancongan haji, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Dr Mohamad Maliki Osman, yang merupakan ketua rombongan haji 2024.
Pada Mac, Berita Minggu melaporkan rombongan haji pada 2024 hanya akan diiringi sembilan kakitangan perubatan dan pentadbiran selepas kerajaan Arab Saudi mengurangkan bilangan kakitangan sokongan yang dibenarkan, daripada 10 peratus daripada kuota rasmi jemaah haji kepada 1 peratus.
Ini bermakna Singapura, yang diperuntuk kuota rasmi 900 jemaah hanya boleh menghantar sembilan kakitangan perubatan dan pentadbiran.
Meredakan keprihatinan jemaah mengenai sokongan perubatan di Saudi, Dr Maliki berkata seramai 900 jemaah haji Singapura akan mendapat perkhidmatan perubatan yang mencukupi melalui model hibrid baru ini.
Beliau menjelaskan: “SPAO akan bekerjasama dengan Penyedia Perkhidmatan Perubatan di Arab Saudi untuk melengkapkan bilangan pegawai perubatan dan jururawat dalam memastikan keperluan perubatan jemaah haji Singapura dapat dikendalikan dengan sebaiknya.
“Pegawai-pegawai kebajikan, yang juga karyawan kesihatan, akan bertugas dengan agen pelancongan (GSA) untuk mengiringi jemaah sepanjang perjalanan haji mereka,” tambahnya,
Beliau menyatakan demikian semasa berucap kepada 900 bakal anggota jemaah haji di sesi taklimat khas di Pusat Konvensyen & Pameran Suntec Singapura, pada 18 Mei.
Turut hadir di acara itu adalah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Duta Besar Arab Saudi ke Singapura, Encik Abdullah Mohammed AlMadhi; Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen; dan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Ustaz Tengku Mohd Fouzy.
Menurut Encik Masagos, model hibrid ini dilaksanakan kerana keselamatan dan kesihatan jemaah adalah satu keutamaan.
“Kali ini, kita menyediakannya dengan kontrak yang kita berikan kepada pegawai perubatan di Saudi.
“Ini meringankan beban membawa bekalan (perubatan) dan memastikan apa yang kita perlu sudah ada di sana dan disiapkan bukan sahaja dari segi perubatan, malah kepakaran yang diperlukan jemaah,” jelas beliau semasa bercakap dengan media selepas acara tersebut.
Sementara itu, dalam kenyataannya pada 18 Mei, Muis berkata persediaan bagi haji 2024 berjalan lancar.
Proses mendapatkan visa untuk 900 jemaah juga telah selesai.
Kumpulan jemaah pertama dari Singapura dijadual berangkat pada 3 Jun. Kumpulan terakhir pula dijangka berlepas pada 10 Jun.
Selain itu, Muis juga sedang bekerjasama rapat dengan Amtas, Kementerian Ehwal Luar (MFA), Kementerian Kesihatan (MOH), Kedutaan Arab Saudi di Singapura dan pihak berkuasa Haji di Saudi untuk memastikan perjalanan haji yang lancar dan selamat untuk semua jemaah, kata Muis lagi.
Sebagai contoh, Muis dan Amtas sedang bekerjasama untuk menambah kemahiran dan kecekapan pegawai sokongan yang dilantik ejen pelancongan, menyediakan vaksin untuk jemaah haji dan mengadakan program kesihatan, Sihat untuk Haji, demi mempertingkat kesihatan jasmani jemaah.
Menurut Encik Masagos program Sihat untuk Haji itu amat penting kerana ia “meningkatkan lagi kesihatan dan tahap fizikal” jemaah untuk menjalani ibadah haji yang “sangat fizikal”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg