Semasa kecil, Encik Muhammad Shalihin Abd Fazil sering menaiki bas atau berbasikal bersama ayahnya pada cuti sekolah.
Kadangkala mereka melewati tapak binaan SP Group di timur Singapura, dan ayahnya, Encik Abd Fazil Hussain, akan bercerita tentang pekerjaannya sebagai pegawai teknikal bersama syarikat tenaga itu hampir 30 tahun.
Detik-detik santai namun bermaklumat itu meninggalkan kesan kepada Encik Shalihin dan menanam rasa ingin tahu tentang sektor tenaga dalam dirinya.
“Pada mulanya, ayah berkongsi tentang pekerjaannya, skop tugasnya dan aspek-aspek teknikal. Lama-kelamaan, apabila kami melewati tapak SP Group, saya dapat cam peralatan yang digunakan.
“Contohnya, kalau seseorang itu sedang menarik kabel, saya tahu beliau sedang melakukan pengesanan kabel,” kongsi Encik Shalihin, 23 tahun.
Beliau semakin meminati bidang pembekalan tenaga, terutamanya apabila mengikuti pengajian diploma dalam bidang Elektronik Aeroangkasa di Politeknik Temasek. Kini, beliau berada di tahun kedua jurusan Kejuruteraan Kuasa Elektrik di Institut Teknologi Singapura (SIT).
Beliau antara 204 pelajar yang menerima Biasiswa Industri-Singapura (SgIS), yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, dalam satu majlis pada 31 Julai di Auditorium Ho Bee di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Biasiswa yang Encik Shalihin dapat bernilai $50,000.
Menurut Encik Shalihin, ayahnya, yang kini berusia 52 tahun, dinaikkan pangkat daripada seorang teknisyen kepada pegawai teknikal gred A, “tidak pernah menentukan minat” pada pilihannya itu, tetapi “lebih kepada mendorong dan menyokong”.
“Pada mulanya, saya lebih berminat menyertai kumpulan pakaian seragam, terutama semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS) sebagai pemandu kenderaan kombat Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
“Saya mahukan sebuah pekerjaan yang membolehkan saya menyumbang kembali kepada masyarakat... tetapi apabila saya mendapat tahu pekerjaan ayah juga dapat melakukan yang sama, walaupun dalam cara berbeza, saya pun bertukar minat.
“Saya memberitahu ayah saya dan beliau lebih menyokong kerana ayah lebih tahu... beliau sudah berada dalam bidang ini selama bertahun-tahun,” ujar Encik Shalihin.
Dengan biasiswa itu, Encik Shalihin bakal menjalani bon selama tiga tahun bersama SP Group selepas pengajiannya di SIT.
Menurut beliau, biasiswa itu bak batu loncatan baginya mencapai impian dan membolehkannya menyumbang kembali di SP Group.
Encik Shalihin dan penerima lain bakal juga mendapat pendedahan kepada pengalaman berkaitan industri dan peluang pembangunan untuk mengasah kemahiran kepimpinan mereka.
Sebanyak 149 syarikat daripada 16 sektor utama, termasuk bioperubatan dan farmaseutikal, elektronik, kejuruteraan, gaya hidup dan makanan, dan perkhidmatan sosial, menaja SgIS. Syarikat-syarikat itu menetapkan kriteria kelayakan masing-masing bagi biasiswa itu.
Sejak 2012, lebih 1,600 pelajar warga Singapura telah mendapat biasiswa tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg