Topik diikuti
Pergi ke BHkuManfaat cuti panjang untuk terus beraya
Manfaat cuti panjang untuk terus beraya
Manfaat cuti panjang untuk terus beraya
DUA minggu sudah berlalu sejak ketibaan Hari Raya, namun warga Singapura tetap 'Raya sakan'.
Semangat beraya jelas terserlah dalam kalangan masyarakat Islam Singapura yang memanfaatkan cuti panjang untuk mengadakan rumah terbuka.
Malah, ada juga yang sempat ke seberang Tambak untuk bertemu saudara-mara.
Antara yang telah mengadakan rumah terbuka semalam ialah keluarga Encik Muhammad Amirul Zaihan, 28 tahun.
Menurutnya, suasana Raya seperti dahulu dapat dirasakan semula memandangkan kegiatan kunjung-mengunjung dibolehkan.
"Saya bersyukur dan gembira kerana sudah lama kita tidak dapat berkumpul sebagai satu keluarga besar. Sudah lama juga saya tidak masak untuk tetamu, padahal sebelum ini ia merupakan tradisi tahunan," ujar pegawai penjagaan pelanggan itu.
Antara juadah yang dihidang buat sekitar 50 tetamunya adalah ayam lemak cili padi, sambal goreng, mi goreng, bergedel dan paru goreng.
Menurut Encik Amirul, walaupun masih agak khuatir tentang Covid-19, beliau berkata "hidup perlu diteruskan".
Memandangkan neneknya terlantar di katil, mereka yang ingin melawat neneknya perlu memakai pelitup sebagai langkah berjaga-jaga, katanya.
Selain mengadakan rumah terbuka, warga Singapura turut memanfaatkan cuti umum sempena Hari Vesak untuk beraya di Malaysia.
Antaranya ialah Encik Mohamed Jadi, 63 tahun, yang mengunjungi kira-kira 10 rumah sewaktu beraya bersama sanak saudara di kawasan Kuala Lumpur dan Melaka.
"Sebelum ini tahun lalu kami beraya menerusi Zoom, kali ini dapat bersemuka, seronok sangat... terubat rindu.
"Setiap rumah yang kami kunjung pasti disediakan makanan, sampai tak termakan!" selorohnya.
Menurut jurutera utama kanan itu, beliau telah bertolak ke Malaysia pada Jumaat lalu selepas waktu maghrib untuk mengelak kesesakan trafik.
Ketika dihubungi petang semalam, beliau berkata beliau sekeluarga sedang bersiap untuk pulang ke Singapura.
Ini sehari lebih awal daripada yang dirancang kerana mahu elak kesesakan jalan raya memandangkan kebanyakan warga Singapura dipercayai pulang ke tanah air pada hari ini.
Bagi Encik Mohamed, Raya tahun ini lebih istimewa.
"Saya dapat solat Raya dua kali! Ketika Raya diumumkan di Malaysia, saya sedang berada di Johor Bahru untuk bersiap pulang ke Singapura. Apabila balik ke Singapura, saya dapat solat Raya sekali lagi," ujarnya.
"Saya bersyukur dan gembira kerana sudah lama kita tidak dapat berkumpul sebagai satu keluarga besar. Sudah lama juga saya tidak masak untuk tetamu, padahal sebelum ini ia merupakan tradisi tahunan." - Encik Muhammad Amirul Zaihan.
