Manfaat menokok CPF sebagai persiapan persaraan
- Perlukah saya memohon untuk layak bagi Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan? Jikalau layak, adakah kelayakan saya secara automatik setiap tahun selepas itu?
Anda tidak perlu membuat permohonan bagi Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan (MRSS) kerana kelayakan akan dinilai secara automatik setiap tahun berdasarkan data dalam rekod CPF.
Anda akan menerima pemberitahuan dari Lembaga CPF pada setiap permulaan tahun, sekiranya anda layak. Secara alternatif, anda juga boleh meninjau kelayakan bagi MRSS menerusi My Messages atau menerusi Matched Retirement Savings Scheme Eligibility Checker (cpf.gov.sg/MRSSchecker).
- Saya layak bagi Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan dan ingin membuat tokokan ke Akaun Persaraan (RA). Jika saya tidak mampu untuk menokok RA, adakah ia bermakna saya tidak dapat menerima pemadanan geran?
Terdapat pilihan-pilihan yang fleksibel bagi pencarum yang layak untuk melakukan tokokan CPF ke Akaun Persaraan supaya dapat menerima pemadanan geran daripada Pemerintah.
Tokokan tunai boleh dilakukan sesiapa sahaja, termasuk diri sendiri atau orang-orang tersayang.
Sebagai tambahan, pencarum juga boleh memilih untuk melakukan tokokan berjumlah kecil secara bulanan.
- Adakah saya perlu menokok pada bulan yang tertentu untuk menerima pemadanan geran? Atau selagi tokokan dibuat pada akhir bulan Disember, saya layak menerima pemadanan geran itu?
Anda boleh melakukan tokokan kepada Akaun Persaraan pada bila-bila masa sahaja sepanjang tahun sebelum akhir Disember.
Jumlah geran yang dipadankan, iaitu sehingga $600 setahun, bergantung kepada jumlah keseluruhan tokokan yang diterima bagi tahun tersebut.
Menokok pada awal tahun juga membantu anda meraih faedah lebih tinggi.
Pencarum tidak perlu membuat tokokan dalam satu jumlah besar sekali gus.
Jumlah yang kecil tetapi kerap sepanjang tahun menggunakan GIRO juga dapat menikmati geran tokokan sehingga $600.
- Bolehkah saya mengeluarkan tokokan yang dibuat dan juga geran yang dipadankan?
Geran pemadanan dan juga tokokan tunai akan dibayar kepada anda sebagai sebahagian daripada pembayaran bulanan bermula pada usia 65 tahun, iaitu usia kelayakan pembayaran di bawah Skim Jumlah Persaraan atau CPF LIFE.
Sejajar dengan matlamat Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan, geran dan tokokan itu bertujuan meningkatkan simpanan persaraan anda untuk pembayaran bulanan yang lebih tinggi.
- Saya ingin melakukan tokokan untuk ibu bapa saya di bawah Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan. Bolehkah saya melakukan pemindahan dari akaun CPF saya ke akaun mereka, atau saya hanya boleh menggunakan wang tunai?
Hanya tokokan tunai sahaja yang layak bagi pemadanan geran. Ini kerana Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan bertujuan meningkatkan kesan tokokan tunai kepada pencarum yang layak dengan memadankan tokokan tunai itu sehingga $600 setahun.
Namun, di samping tokokan tunai, anda juga boleh melakukan pemindahan CPF ke Akaun Persaraan ibu bapa anda.
Tokokan ini juga dapat menikmati kadar faedah sehingga 6 peratus dan sekali gus meningkatkan simpanan persaraan mereka.
- Jika saya sudah melakukan tokokan tunai sejumlah $3,500 setiap seorang kepada ibu dan bapa di bawah Skim Tokokan Persaraan tahun lalu, perlukah saya menokok tambahan $600 ke akaun CPF mereka untuk menerima pemadanan geran tersebut?
Seperti contoh yang anda berikan, anda telah pun melakukan tokokan tunai sekurang-kurangnya $600 (bagi anda jumlahnya ialah $3,500) ke Akaun Persaraan ibu dan bapa anda.
Mereka masing-masing akan menerima geran pemadanan sepenuhnya berjumlah $600 pada permulaan tahun seterusnya sekiranya mereka berdua layak bagi Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan.
Di samping itu, anda juga boleh menikmati pelepasan cukai sehingga $7,000 bagi tokokan tunai yang dibuat ke Akaun Persaraan ibu bapa anda.
- Bagaimana cara melakukan tokokan?
Anda boleh melakukan tokokan tunai secara dalam talian menerusi aplikasi mudah alih myCPF atau laman web CPF.
(i) Aplikasi mudah alih, myCPF
1. Sentuh aplikasi "myCPF" pada alat mudah alih anda.
2. Log masuk menggunakan SingPass.
3. Sentuh ikon menu di bahagian atas, sebelah kiri.
4. Pilih "My Services" >"Special/Retirement Account Top-Up".
5. Serahkan permohonan anda dan buat bayaran segera.
(ii) Laman web CPF
1. Kunjungi cpf.gov.sg/ecashier.
2. Pilih "Top up to my own/recipient's RA" di bawah "Retirement Sum Topping Up Scheme".
3. Serahkan permohonan anda dan buat pembayaran dengan segera.
(iii) GIRO (bagi tokokan jumlah kecil secara kerap)
Kunjungi cpf.gov.sg/rstuGIRO untuk membuat permohonan.
- Jika saya tidak layak bagi MRSS, bolehkah saya tetap melakukan tokokan menerusi laman web CPF?
Anda boleh melakukan tokokan untuk menambahkan simpanan persaraan anda atau orang-orang tersayang bagi meningkatkan pembayaran bulanan semasa persaraan nanti, meskipun anda atau orang-orang tersayang tidak layak bagi Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan. Pada masa yang sama, anda juga dapat menikmati pelepasan cukai* bagi tokokan tunai ke akaun CPF anda atau orang-orang tersayang.
*Tertakluk pada terma dan syarat.
Dibawakan oleh CPF

