Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Manfaatkan teknologi AI, bantu tingkat kemahiran, kekalkan pekerja

Terap budaya pembelajaran, bantu pembangunan kerjaya
Aug 5, 2021 | 5:30 AM
PIKUL TANGGUNGJAWAB: Cik Tanya Heng kekal bertugas di syarikat teknologi global, IBM, selama lebih 20 tahun kerana beliau mempunyai pelbagai peluang untuk membina kemahiran dan memikul tanggungjawab baru. - Foto SPH
PIKUL TANGGUNGJAWAB: Cik Tanya Heng kekal bertugas di syarikat teknologi global, IBM, selama lebih 20 tahun kerana beliau mempunyai pelbagai peluang untuk membina kemahiran dan memikul tanggungjawab baru. - Foto SPH -

Syarikat teknologi global IBM yang sudah berada di Singapura selama 70 tahun, memberi penekanan terhadap pembelajaran dan peningkatan kemahiran, apatah lagi dalam ekonomi era digital ini. Ikuti bagaimana kemahiran menjadi keutamaan dalam pembangunan kerjaya pekerja syarikat itu dan bagaimana IBM memainkan peranan dalam membina kemahiran teknologi terkini buat masyarakat Singapura.

Laporan ini dibawakan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI)

MENDORONG pekerja untuk terus-menerus mempertingkatkan kemahiran adalah kunci usaha syarikat teknologi global, IBM, untuk membantu bakat tempatan mengikuti perkembangan teknologi. Ia juga membolehkan mereka berjaya dalam ekonomi digital yang berkembang pesat kini.

"Sebagai syarikat teknologi, IBM mengutamakan pembinaan kemahiran. Tetapi, jangka hayat kemahiran dalam bidang teknologi pendek. Ini bermakna apa yang anda pelajari lima atau tiga tahun lalu mungkin sudah tidak relevan sekarang. Jadi, ia penting bagi pekerja kami untuk terus mempertingkat kemahiran," jelas Naib Presiden Sumber Manusia IBM Asia Pasifik (APAC), Cik Tanya Heng, 46 tahun.

Lantaran itu, IBM, syarikat berusia 110 tahun itu, telah menerapkan budaya pembelajaran di kalangan para pekerja, di mana menimba kemahiran adalah penting dalam pembangunan kerjaya.

Cik Heng berkata bahawa IBM menyediakan wadah pembelajaran yang dipanggil 'Your Learning' (Pembelajaran Anda) yang memaparkan pelbagai sumber pembelajaran dari klip video YouTube hingga aneka jenis kursus.

Antara ciri menarik tentang wadah ini ialah ia dibina dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan mereka mengetahui siapa penggunanya dan apa yang dipelajari penggunanya sebelum ini.

Malah, mereka juga boleh mengetahui aspirasi kerjaya pengguna, dan akan memberikan saranan dan menyenaraikan kursus yang pengguna boleh pelajari.

Cik Heng menyamakan pengalaman menggunakan wadah ini seperti pengalaman menggunakan khidmat penstriman Netflix.

Menerusi wadah ini, pekerja IBM boleh memilih kursus pilihan mereka dan mempelajari kursus itu pada waktu kelapangan mereka.

Satu lagi program yang menerapkan teknologi AI dan merangsangkan usaha pembangunan kerjaya pekerja IBM adalah program 'IBM Digital Badge'.

Program tersebut membolehkan pekerja berkongsi bukti pencapaian mereka yang disahkan dengan pantas dan mudah di dalam dan luar syarikat IBM.

"Kededua program tersebut adalah penting dalam pembangunan kerjaya pekerja IBM kerana ini membolehkan tenaga kerja kami mudah ketahui apakah kemahiran terkini yang mempunyai permintaan tinggi di IBM dan apakah kemahiran yang sedang hangat di dalam industri teknologi.

"Menerusi program sedemikian, pekerja kami boleh selaraskan gol kerjaya dan pembelajaran mereka atau berbincang dengan majikan mereka tentang arah tuju kerjaya mereka," kata Cik Heng, ibu seorang anak lelaki berusia 18 tahun.

Lebih penting lagi, dengan memanfaatkan teknologi terkini seperti AI dalam program tersebut, syarikat itu boleh mengenal pasti dan mengekalkan bakat sedia ada.

"Ada wadah bagi jabatan sumber manusia, di mana kami boleh mengimbas resume pekerja dan lihat jika pekerja itu boleh dipadankan dengan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahirannya.

"Sebagai sebuah syarikat, kami berusaha mengekalkan bakat sendiri bagi mengelakkan mereka mencari peluang lebih baik di syarikat lain," kata Cik Heng.

Menguruskan pembangunan kerjaya pekerja adalah antara tugasan Cik Heng, yang memimpin jabatan sumber manusia (HR).

Cik Heng, yang telah bertugas di jabatan HR IBM selama lebih 20 tahun dan pernah bertugas di ibu pejabat IBM di New York, Amerika Syarikat, lebih setahun, telah melihat teknologi membawa kepada perubahan tenaga kerja.

Misalnya, sistem berteknologi AI di IBM boleh membantu pengurus syarikat itu mengendalikan semua perkara antaranya daripada latihan pekerja, semakan mengenai prestasi pekerja dan rundingan tentang mengekalkan pekerja.

Syarikat itu juga mempunyai program yang dipanggil proactive retention program (program mengekalkan secara proaktif), di mana sistem ini boleh meneka jika seseorang pekerja hendak berhenti kerja dan ia akan memberi amaran kepada pengurusnya - dengan menyarankan agar pekerja itu ditawarkan peranan berlainan di dalam tugasnya, pekerja itu dinaikkan gaji atau dinaikkan pangkat.

"IBM telah dapat jimat sekitar $300 juta dalam kos kehilangan produktiviti dan kos pelantikan sejak syarikat kami melancarkan teknologi ini sekitar sembilan tahun lalu.

"Akibat perubahan teknologi ini, kami lebih banyak menggunakan sistem AI dalam pekerjaan kami dan ini memberi kesan kepada tenaga kerja kami," kata Cik Heng.

Lantas, Cik Heng berkata tenaga kerja setempat mesti bersedia menerima perubahan dalam era digital ini dengan memperbaharui dan mempertingkat kemahiran teknologi mereka.

Selain itu, tenaga kerja setempat juga harus memiliki kemahiran soft skill seperti memiliki keupayaan untuk bergabung, keupayaan berdaya tahan dan boleh mengambil risiko kian Singapura menuju ke arah ekonomi digital.

Memberi contoh tentang perubahan di jabatan sumber manusia IBM dengan penggunaan teknologi, Cik Heng berkata:

"Kami panggil perubahan di jabatan sumber manusia IBM ini, HR 3.0. Teknologi membuat kami bekerja dengan lebih cekap. Kami telah memuat naik segala data berkenaan tenaga kerja seperti pampasan dan pelantikan bakat ke wadah komputing awan (cloud).

"Melalui wadah cloud ini, ia membebaskan jabatan kami untuk melakukan perkara yang lebih strategik dan memberi kami peluang untuk mempertingkat kemahiran.

"Pada masa yang sama, pasukan saya kini meluangkan lebih masa untuk membantu pemimpin perniagaan kami menjadi pemimpin yang lebih baik sekaligus menambah nilai pada perniagaan IBM."

IBM yang telah berada di Singapura selama 70 tahun, telah menjadi rakan kongsi Singapura dalam memacu inisiatif bagi mempertingkat kemahiran di kalangan pekerja setempat.

Misalnya, sekitar September tahun lalu, IBM telah bekerjasama dengan SkillsFuture Singapore (SSG) untuk memperkenalkan "i.am-vitalize", satu program kemahiran khusus buat karyawan pertengahan kerjaya sebagai sebahagian daripada Program Laluan Pertengahan Kerjaya SGUnited.

Setiap program kemahiran sepenuh masa ini, yang disampaikan Akademi Kemahiran IBM, merangkumi dua aliran iaitu AI dan siber keselamatan.

Seramai 800 karyawan pertengahan kerjaya telah turut serta dalam program tersebut dan sejauh ini sekitar 381 pakar profesional pertengahan kerjaya itu telah tamat pengajian.

Selain itu, IBM juga kini menawarkan program Laluan dalam Teknologi (P-Tech) buat para pelajar di politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Program P-Tech ini bertujuan mengatasi kekurangan kemahiran kolar biru, sejajar dengan seruan Pemerintah Singapura untuk mengalihkan fokus dari kelayakan kertas ke kemahiran.

"Sebagai syarikat teknologi, IBM mengutamakan pembinaan kemahiran. Tetapi, jangka hayat kemahiran dalam bidang teknologi pendek. Ini bermakna apa yang anda pelajari lima atau tiga tahun lalu mungkin sudah tidak relevan sekarang. Jadi, ia penting bagi pekerja kami untuk terus mempertingkat kemahiran." - Naib Presiden Sumber Manusia IBM Asia Pasifik (APAC), Cik Tanya Heng.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg