Mantan Anggota Parlimen (AP), Cik Lee Bee Wah telah menderma $13,000 daripada royalti hasil jualan biografinya kepada Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (STSPMF).
Buku bertajuk 'Plantation To Parliament: My Story So Far' telah dilancarkan di Perpustakaan Negara pada Sabtu (4 Jun) sempena Pesta Buku Singapura.
Cik Lee berkata dalam bahasa Mandarin semasa majlis itu bahawa pengalaman ditemuramah oleh bekas wartawan Lianhe Zaobao, Cik Hong Weixi untuk buku itu membuatnya ketawa dan menangis beberapa kali.
Cik Hong, yang menulis kedua-dua versi Inggeris dan Cina buku itu, berkata:
"Saya masih ingat bahawa kali pertama beliau mula menangis adalah apabila bercakap tentang bapanya - beliau menangis kerana bapanya tidak dapat melihat pencapaiannya hari ini dan ia membuatkan saya menangis juga."
Biografi setebal 164 muka surat itu mengisahkan tahun-tahun membesar Cik Lee, 61 tahun yang hidup susah di ladang getah di Malaysia, sehingga tempoh perkhidmatannya di Parlimen yang penuh warna-warni.
Sepanjang 14 tahun sebagai AP, beliau mengetengahkan isu seperti pembuangan sampah merata tempat dan masalah burung merpati serta berjuang untuk perkhidmatan dan kemudahan yang lebih baik untuk penduduk.
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam kata pengantar buku itu, berkata sebagai AP, Cik Lee adalah seorang yang tidak kenal lelah dan bijak.
STSPMF, yang dimulakan pada 2000, menyokong 10,000 pelajar dari keluarga bergaji rendah setiap tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg