Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan ketua pelaburan GIC Ng Kok Song ‘pertimbang’ langkah tanding jawatan presiden

Jul 15, 2023 | 5:46 PM
PERTIMBANG PENCALONAN: Encik Ng Kok Song, yang bersara daripada GIC pada 2013, sedang mempertimbangkan langkah bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.
PERTIMBANG PENCALONAN: Encik Ng Kok Song, yang bersara daripada GIC pada 2013, sedang mempertimbangkan langkah bertanding dalam Pilihan Raya Presiden. - Foto fail

Mantan ketua pegawai pelaburan dana kekayaan negara GIC, Encik Ng Kok Song, berkata pada Sabtu bahawa beliau sedang “mempertimbangkan” langkah bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.

Menjawab pertanyaan The Straits Times, Encik Ng, 75 tahun, berkata: “Ia adalah isu yang sangat penting bagi negara dan akan ada implikasi peribadi yang besar. Saya masih mempertimbangkannya.”

Laporan dalam talian pada Jumaat telah menyebut namanya sebagai calon berpotensi dalam Pilihan Raya Presiden akan datang.

Komen Encik Ng itu dikeluarkan lebih sebulan selepas usahawan Encik George Goh berkata pada 12 Jun bahawa beliau berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.

Pada 8 Jun lalu, mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, mengumumkan beliau berhasrat bertanding dalam pilihan raya tersebut dan meletak jawatan daripada pemerintah dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 7 Julai.

Presiden Halimah Yacob berkata beliau tidak akan bertanding untuk pemilihan semula apabila penggalnya berakhir pada 13 September.

Encik Ng bersara daripada GIC pada 2013 selepas 27 tahun berkhidmat.

Beliau kini merupakan pengerusi eksekutif firma pelaburan Avanda Investment Management, yang diasaskannya bersama dua bekas rakan kerja GIC pada 2015.

Avanda telah memperoleh keuntungan dalam tiga tahun kewangan terakhir dari 2020 hingga 2022, menurut dokumen yang diperoleh The Straits Times daripada Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra).

Ia mempunyai purata kira-kira $73 juta dalam ekuiti pemegang saham dalam tempoh tiga tahun yang lalu.

Encik Ng menyertai perkhidmatan awam pada 1970 sebagai penganalisis pelaburan dengan Kementerian Kewangan selepas menamatkan pengajian dengan ijazah fizik daripada Universiti Singapura.

Penerima biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam itu kemudian berpindah ke Penguasa Kewangan Singapura setahun kemudian apabila ia ditubuhkan.

Pada 1986, lima tahun selepas GIC ditubuhkan, Encik Ng menyertainya untuk mengetuai jabatan ekuiti dan bon dan merupakan pengarah bukan ekspatriat pertama dana itu.

Pada 2007, beliau dilantik sebagai ketua pegawai pelaburan kumpulan pertama GIC, jawatan yang dipegangnya hingga beliau bersara pada 2013.

“Ia adalah isu yang sangat penting bagi negara dan akan ada implikasi peribadi yang besar. Saya masih mempertimbangkannya.”
Encik Ng Kok Song, mantan ketua pegawai pelaburan dana kekayaan negara GIC.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg