Mantan Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani, dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 7 Mac di Istana.
Penghargaan berprestij itu adalah satu pengiktirafan atas peranan beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala yang rapat antara Polis Diraja Malaysia dengan Pasukan Polis Singapura (SPF).
“Kepimpinan beliau dalam Polis Diraja Malaysia telah meningkatkan keselamatan kedua-dua negara dengan menentang ancaman pengganasan, dadah dan jenayah rentas negara,” kata SPF dalam kenyataannya.
Tan Sri Acryl menyandang jawatan sebagai Ketua Polis Negara dari 4 Mei 2021 hingga 22 Jun 2023.
Di bawah kepimpinan beliau, kerjasama antara Polis Diraja Malaysia dengan SPF diperkukuh, terutamanya dalam bidang siasatan, pertukaran maklumat dan perisikan, serta pembangunan keupayaan.
Pesuruhjaya Polis, Encik Hoong Wee Teck, berkata SPF akan terus bekerja rapat dengan Polis Diraja Malaysia untuk menentang jenayah rentas negara dan menangani cabaran keselamatan baru.
Sempena lawatannya ke Singapura, Tan Sri Acryl juga telah bertemu dengan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dan Encik Hoong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg