Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, telah dikurniakan anugerah awam tertinggi negara, Darjah Utama Temasek (Dengan Kepujian Tinggi).
Beliau akan menerima anugerah tersebut daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam pada Ahad di Majlis Anugerah Kebangsaan yang akan diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, lapor The Straits Times.
Puan Halimah, 69 tahun, akan mengetuai senarai penerima Anugerah Kebangsaan bagi 2023, kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataannya pada Rabu.
Puan Halimah, yang merupakan presiden wanita pertama Singapura, berkhidmat sebagai ketua negara dari 2017 hingga 2023, dengan hari terakhirnya pada 13 September lalu.
Beliau tidak bertanding semula pada Pilihan Raya Presiden 2023, yang dimenangi oleh mantan Menteri Kanan, Encik Tharman.
Sejak bersara daripada jawatan presiden, Puan Halimah telah dilantik sebagai Canselor Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).
Sepanjang tempoh khidmatnya sebagai presiden kelapan Singapura, Puan Halimah banyak bersuara mengenai kesaksamaan jantina dan turut memberi pandangannya mengenai pelbagai isu sosial seperti keperluan melindungi pekerja lebih tua.
Beliau juga merupakan penyokong kuat dalam usaha membina hubungan antara agama dan menggalak dialog berbilang budaya.
Semasa tempoh khidmatnya juga, acara Cabaran Presiden antara lain, memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan golongan kurang upaya, membina masyarakat Singapura yang inklusif secara digital dan menyokong nasib kumpulan penjaga.
Individu terakhir yang menerima anugerah tersebut ialah mantan menteri kanan, Profesor S Jayakumar.
Tiga mantan presiden Singapura – Dr Tony Tan Keng Yam, Encik S R Nathan dan Encik Wee Kim Wee – turut dikurniakan anugerah tersebut yang sebelum ini digelar Darjah Utama Temasek (Kelas Pertama).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg