Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan setiausaha parlimen kanan Lee Yiok Seng meninggal dunia pada usia 87 tahun
Mantan setiausaha parlimen kanan Lee Yiok Seng meninggal dunia pada usia 87 tahun
Mantan Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara dan ahli politik veteran Encik Lee Yiok Seng meninggal dunia pada 6 November. Beliau berusia 87 tahun.
Mendiang Lee memulakan kerjaya politiknya pada 1970-an dan merupakan Anggota Parlimen (AP) bagi Bukit Panjang dari 1972 hingga 1991 dan GRC Sembawang dari 1991 hingga 1996.
Ahli politik Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu ialah Whip pemerintah dari 1981 hingga 1988, Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Negara) dari 1981 hingga 1993, dan Setiausaha Parlimen Kanan (Buruh) dari 1994 hingga 1996.
Dalam hantaran di Facebook pada 6 November, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata beliau amat sedih dengan pemergiannya, sambil menyatakan bahawa mendiang Lee telah berkhidmat kepada Singapura dengan penuh dedikasi dan matlamat, termasuk sebagai AP bagi Bukit Panjang dan Sembawang selama hampir 25 tahun.
PM Wong berkata:
“Sebagai Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pembangunan Negara, beliau memainkan peranan penting dalam usaha perumahan dan penempatan semula, membantu keluarga dan perniagaan menyesuaikan diri sedang kita membangunkan bandar dan estet perumahan baharu.
“Beliau juga memperjuangkan keselamatan di tempat kerja dan kebajikan pekerja sebagai Setiausaha Parlimen Kanan bagi Buruh.”
Encik Wong, yang mengenali mendiang Lee apabila beliau bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee pada 2015, berkata mendiang Lee terus mengambil berat tentang kawasan itu dan penduduknya walaupun selepas bersara daripada politik.
“Singapura telah kehilangan seorang penjawat awam yang berdedikasi, dan PAP kehilangan seorang rakan seperjuangan yang setia,” ujarnya.
Rekod Parlimen menunjukkan bahawa mendiang Lee adalah antara AP, dalam satu persidangan pada 1978, berhujah supaya Menteri Buruh ketika itu mempertimbangkan secara baik permohonan permit kerja bagi individu yang pasangan serta anak-anak mereka merupakan warga atau penduduk tetap Singapura.
Pada 1984, sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Negara), mendiang Lee berucap mengenai usaha penempatan semula pemerintah di satu acara masyarakat, menyifatkannya sebagai pendekatan praktikal dek sumber tanah Singapura yang terhad, jumlah penduduk yang semakin bertambah, dan pembangunan ekonomi.
Beliau berkata bahawa golongan setinggan yang merupakan warga negara, dan terjejas akibat penempatan semula, diberi bantuan untuk membeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dengan bayaran pendahuluan yang dikurangkan iaitu sebanyak $100, serta diberi keutamaan untuk membelinya.
Mendiang Lee berkata bahawa dalam tempoh 10 tahun pertama penempatan semula, dari 1960 hingga 1969, seramai 37,153 golongan setinggan telah ditempatkan semula dan dibayar pampasan berjumlah $29 juta.
Dari 1970 hingga 1979, jumlah setinggan yang ditempatkan semula meningkat kepada 104,643 dan pampasan berjumlah $305.7 juta telah dibayar.
Dari 1980 hingga 1983, kadar penempatan semula dipercepatkan lagi, dengan sejumlah 60,512 setinggan ditempatkan semula dan dibayar pampasan $505.4 juta.
Mendiang Lee, yang mengambil maklum aspirasi rakyat Singapura yang tinggal di kawasan setinggan untuk mendapatkan perumahan yang lebih baik, berkata:
“Penempatan semula tidak pernah menjadi tugas yang menyenangkan atau mudah. Bagaimanapun, pencapaian kita dalam bidang ini adalah cemerlang.”
AP GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Alex Yam, menyifatkan mendiang Lee sebagai seorang yang mudah didekati, mesra dan sentiasa memberi dorongan. Beliau berkata mendiang baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke-87 pada 11 Oktober.
“Marsiling, Woodgrove, Sembawang dan Bukit Panjang adalah kawasan asal beliau. Malah lama selepas bersara daripada politik, beliau terus menghadiri acara masyarakat kita dan kekal berhubung dengan ramai bekas pemimpin akar umbinya.
“Beliau juga merupakan Whip pemerintah semasa tahun-tahun yang agak menarik di Parlimen, termasuk apabila pengasas yang juga pengerusi PAP, Dr Toh Chin Chye, mencabar pendirian pemerintah terhadap perundangan dari bangku belakang.
“Sudah tentu ia bukanlah tugas yang mudah untuk memastikan tokoh-tokoh hebat sebegitu mengikut aturan,” jelasnya.
Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan, Encik Zaqy Mohamad, berkata mendiang Lee berada di Kelab Masyarakat Marsiling bagi satu acara pada Mei, bersama bekas penasihat yang lain.
Encik Zaqy, yang juga AP GRC Marsiling-Yew Tee, berkata bakti dan sumbangan mendiang Lee akan sentiasa dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah Marsiling.