Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Maidin Packer, meninggal dunia

Jun 24, 2024 | 10:22 PM
Mantan Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP), Mohamad Maidin Packer Mohd, telah meninggal dunia pada 24 Jun.
Mantan Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP), Mohamad Maidin Packer Mohd, telah meninggal dunia pada 24 Jun. - Foto FAIL

Mantan Setiausaha Parlimen Kanan dan aktivis masyarakat, Encik Mohamad Maidin Packer Mohd, telah meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung pada 6.50 petang, 24 Jun.

Ini disahkan oleh abangnya, Encik Abdul Rahim, sewaktu dihubungi Berita Harian (BH) selepas kiriman WhatsApp mengenai pemergiannya dikirimkan kepada wartawan.

“Allahyarham mengalami serangan jantung pada 6.50 petang. Ambulans kecemasan tiba sekitar 7.05 malam untuk membawanya ke Hospital Besar Changi (CGH). Pegawai perubatan berusaha melakukan yang sebaiknya.

“Namun, pada 8.35 malam, kami menerima berita sedih beliau meninggal dunia. Allah swt Maha Mengatur,” jelas Encik Abdul Rahim.

Menurutnya lagi, pihak keluarga telah berurusan dengan badan khairat kematian untuk membawa jenazah pulang pada Isnin malam (24 Jun) juga.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Blok 333 Tampines Street 33, #07-536, dan disolatkan di Masjid Ba’alwie selepas Zuhur.

Allahyarham merupakan seorang Anggota Parlimen GRC Aljunied dari 1991 hingga 1996 dan GRC Marine Parade dari 1997-2006.

Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan politik seperti Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pendidikan pada 2001, Ehwal Dalam Negeri dari 2001 hingga 2006 dan Sekitaran dari 2003 hingga 2004.

Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi Bulan Bahasa bagi empat penggal pada tahun 1990-an.

Allahyarham juga pernah mempengerusikan Persatuan Seni-Budaya Kreatif Melayu (CMAC).

Sebelum menyertai politik, Allahyarham Maidin merupakan wartawan Berita Harian/Berita Minggu dan pernah juga dipinjamkan secara sambilan ke Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) selaku Timbalan Pengarah Unit Penyelidikan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sang Nila Utama itu aktif dalam banyak pertubuhan Melayu dan nasional.

Antara jawatan yang diterajuinya termasuk menjadi bekas anggota pengasas Majlis Pengurus (Governing) Yayasan Mendaki pada 1989 dan Setiausaha Persatuan Wartawan Melayu (1984-1985).

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg