KHIDMAT kewangan akan kekal dibuka dan sedia ada kepada semua pelanggan dan rakan niaga di Singapura mahupun di serata dunia, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) hari ini.
Ini menyusuli pengumuman Kementerian Kesihatan (MOH) petang Jumaat bahawa semua kegiatan di tempat kerja perlu digantung dan rakyat Singapura digesa bertugas dari rumah sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan Covid-19 di sini.
Namun, khidmat kewangan merupakan antara khidmat penting disenaraikan MOH, yang dikecualikan.
MAS berkata semua pasaran kewangan di Singapura tetap dibuka dan khidmat pembayaran tidak akan terjejas.
"Semua institut kewangan akan terus beroperasi, walaupun dengan kakitangan yang dikurangkan di premis masing-masing, selaras dengan nasihat MOH untuk memaksimumkan telekomunikasi.
"Khidmat perbankan akan terus disediakan melalui saluran dalam talian, mesin ATM dan cawangan bank. Khidmat insurans, pembrokeran, simpanan, pengurusan aset dan nasihat kewangan juga akan terus sedia ada," kata MAS dalam kenyataannya.
Ia juga menasihati orang ramai bahawa mereka tidak perlu mengeluarkan lebih wang tunai daripada keperluan normal mereka.
Bank akan mengekalkan wang tunai yang mencukupi di mesin-mesin ATM dan orang ramai digalak membuat pembayaran secara elektronik, tambah MAS.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg