MASA memproses Permit Masuk Kenderaan (VEP) akan dikurangkan daripada tujuh minggu kepada tiga minggu.
Ini dapat dilakukan dengan sumber tambahan yang telah diketepikan bagi menangani bilangan permohonan VEP yang tinggi, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam kenyataannya semalam.
Sejak pembukaan semula sempadan darat pada 1 April 2022, LTA mendapati lonjakan dalam permohonan VEP.
Sehingga kini, LTA menerima sekitar 120,000 permohonan VEP.
Disebabkan peningkatan dalam bilangan permohonan, penguasa tersebut telah meningkatkan sumbernya bagi menangani hal itu.
Dengan sumber tambahan, masa memproses VEP dijangka dapat dikurangkan secara progresif daripada tujuh minggu kepada tiga minggu.
Pemohon akan diberitahu tempoh proses yang boleh dijangkakan ketika mereka membuat permohonan.
"Sejak permohonan dibuka pada 31 Mac 2022, sekitar 50,000 pemohon, atau sekitar 40 peratus, jumlah permohonan telah menerima keputusan permohonan mereka lebih awal daripada tempoh proses yang diberikan ketika mereka membuat permohonan.
"Baki pemohon boleh menjangkakan permohonan mereka diproses dalam masa tiga minggu," kata LTA.
Permohonan bagi VEP mesti dilakukan secara dalam talian melalui VEP Digital Services di laman web OneMotoring LTA.
Permohonan tidak lagi akan diterima di sempadan darat Singapura demi memastikan perjalanan trafik lebih lancar, kata LTA.
Pemohon perlu menyediakan kad pengenalan atau pasport mereka, kad pas imigresen seperti permit kerja, perakuan pendaftaran kenderaan, sijil insurans kenderaan, dan cakera cukai jalan kenderaan.
Pemandu kenderaan asing juga mesti mempunyai e-mel pengesahan VEP daripada LTA dan kad Autopass yang sah.
Mereka yang tidak mempunyai kad Autopass boleh rujuk kepada e-mel VEP LTA dan mengambil kad tersebut di Pusat Khidmat LTA di Johor Bahru sebelum memasuki Singapura.
Sementara itu, LTA juga menggalakkan orang ramai yang ingin melakukan perjalanan supaya membuat perancangan awal, sambil menambah bahawa pelancong yang tiada keperluan penting sangat digalakkan menunda perancangan mereka agar individu yang mempunyai keperluan perjalanan penting dapat melakukannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg