USAHA Institut Kesihatan Mental (IMH) beralih kepada jagaan menyeluruh dan tertumpu pada pesakit dengan mendakap model "jagaan memulihkan" penting dalam merawat pesakit, kata Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Ini memandangkan ia bukan sekadar merawat simptomnya, malah memboleh mereka yang menghidap masalah kesihatan mental pulih dalam beberapa fungsi serta peranan.
"Ini mesti bermula di wad-wad semasa simptom akut mereka dapat distabilkan. Dalam hal ini, jururawat memainkan peranan amat diperlukan," ujar Encik Masagos.
Bercakap di sambutan Hari Jururawat IMH semalam, Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, melahirkan rasa senangnya melihatkan IMH komited membangunkan dan memperkasa jururawatnya mengambil peranan lebih besar dalam jagaan tertumpu pada pesakit.
Komitmen itu dipadankan dengan keinginan jururawat belajar dan kesungguhan mereka keluar daripada zon keselesaan mereka.
Di acara itu, Encik Masagos menyampaikan 19 anugerah kepada jururawat cemerlang individu dan berpasukan bagi sumbangan mereka kepada penjagaan pesakit dan kerjasama baik.
Antaranya ialah Anugerah Nightingale, Anugerah Unit Paling Maju, Anugerah Semangat Berpasukan, dan Anugerah Unit Klinikal Terbaik.
Encik Masagos berkata sedang keberkesanan model jagaan memulihkan bergantung pada pasukan jagaan, prasarana hospital sama penting bagi menyokong pendekatan sedemikian.
Kampus IMH selesai dibina sekitar 30 tahun lalu dan sudah tiba masanya bagi peningkatan prasarana dilakukan untuk menyokong model jagaan baru ini dengan lebih baik, ujar beliau.
Justeru sejak 2018 MOH komited membantu IMH memperbaiki dan mengemas kini khidmat jagaan pesakit di wad serta prasarananya. Penambahbaikan itu masih berjalan dan akan selesai secara bertahap.
Unit Jagaan Singkat salah satu kemudahan awal yang selesai diperbaiki. Ia diubah suai daripada wad masa kini dan direka bagi pesakit memerlukan intervensi krisis jangka singkat dan distabilkan bagi simptom akut mereka.
Sebelum ini pesakit sedemikian dimasukkan langsung ke wad akut tetapi ini tidak sesuai, kata Encik Masagos.
"Dengan sokongan dan bantuan betul, keadaan kesihatan mental boleh dirawat, dan pemulihan boleh dicapai.
"Jururawat memainkan peranan penting dalam memberi jagaan ini menerusi perancangan, penyelarasan dan berada dekat dengan pesakit mereka," ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg