MENTERI Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamed, berkata masyarakat harus mengambil langkah berjaga-jaga apabila ke masjid untuk mengelak gelombang jangkitan semula dalam masyarakat. Menurut beliau Muis akan mula membuka semula masjid secara bertahap mulai 2 Jun.
Namun sejajar dengan langkah nasional, pembukaan semula tempat ibadah itu harus dilakukan dengan selamat untuk mengelakkan gelombang kedua jangkitan masyarakat, dan perlunya untuk menutup masjid sekali lagi.
Beliau berkata, ruang beribadah akan sangat terhad, justeru beliau menggesa masyarakat supaya memberi keutamaan kepada pekerja penting yang tidak dapat menunaikan solat di tempat kerja yang tetap.
"Bagi mereka yang boleh beribadah di rumah, terutama warga tua kita, teruskanlah beribadah di rumah sahaja demi keselamatan anda.
"Jika anda perlu ke masjid, amalkan sikap bertanggungjawab - pakai pelitup, bawa sejadah anda sendiri, elakkan bergaul dengan orang lain di masjid, dan elakkan daripada pergi ke masjid jika anda tidak sihat.
"Sistem Safe Entry akan dilaksanakan, jadi bawalah kad pengenalan anda.
"Kita harus mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk apabila ke masjid, untuk mengelak gelombang jangkitan semula dalam masyarakat. Marilah kita bersatu padu memainkan peranan dalam usaha bersama untuk menentang virus ini," katanya menerusi Facebook beliau Rabu (27 Mei).
Encik Masagos juga bangga dengan masyarakat Islam Singapura yang telah menyesuaikan kebiasaan hidup dalam krisis Covid-19 ini.
"Ini tidak kurang hebat dalam kita berdepan dengan penutupan masjid sejak Mac lalu. Sesi pembelajaran agama telah dijalankan dalam talian, manakala solat berjemaah dijalankan di rumah. Ini adalah pengorbanan yang besar dibuat demi keselamatan masyarakat dan negara," tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg