Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Asean akan laksana kajian silang negara tentang institusi keluarga

Nov 6, 2024 | 3:16 PM
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata kajian silang negara Asean itu bertujuan membantu negara anggota menghasilkan dasar, melakar amalan dan membina pengetahuan tentang keluarga dalam konteks Asean.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata kajian silang negara Asean itu bertujuan membantu negara anggota menghasilkan dasar, melakar amalan dan membina pengetahuan tentang keluarga dalam konteks Asean. - Foto ZAOBAO

Negara anggota Asean akan bekerjasama dalam satu kajian silang negara bagi memahami unit keluarga dengan lebih mendalam, umum Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Kerjasama itu diharap dapat membantu negara anggota menghasilkan dasar, melakar amalan dan membina pengetahuan mengenai keluarga dalam konteks Asean.

“Di samping pertukaran idea, kerjasama Asean ini akan menghimpunkan secara sistematik kajian berkenaan keluarga untuk membentuk badan ilmu yang akan menyokong kita membangunkan dasar dan memperhalusi amalan berteraskan keluarga dalam konteks Asia,” kata Encik Masagos.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Persidangan Keluarga Asia di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 6 November.

Acara itu dihadiri sekitar 400 hadirin, termasuk Presiden Tharman Shanmugaratnam sebagai tetamu terhormat.

Bagi melaksana kajian itu, negara anggota Asean akan berkongsi maklumat berkenaan keluarga di negara masing-masing, dengan dapatan kajian akan dihimpunkan dalam Laporan Asean mengenai Keluarga.

Ini sejajar dengan komitmen yang disepakati negara anggota susulan Mesyuarat Khas Menteri Asean mengenai Kebajikan dan Pembangunan Sosial pada 5 November di Singapura.

Dalam satu kenyataan bersama pada 5 November, negara anggota Asean berikrar akan membina pengetahuan serantau berkenaan keluarga Asean.

Ini termasuk memudahkan perkongsian data dan kajian bagi, antara lain, menggalak pertukaran idea dengan tujuan menghasilkan laporan tersebut.

Syarat kerjasama itu akan disemak setiap dua tahun.

“Kami akan berusaha ke arah meningkatkan kerjasama serantau pada peringkat Asean untuk menyokong tindakan dalam membangunkan ilmu pengetahuan pada tahap serantau berkenaan keluarga Asean dan menyumbang ke arah usaha menyokong dan memperkukuh keluarga sedemikian,” ujar kenyataan itu.

Encik Masagos memberi penekanan tentang pendekatan Singapura dalam melakar dasar sosial – berteraskan prinsip keluarga, langkah proaktif, daya kekuatan dan penglibatan seluruh masyarakat.

Kesemua prinsip ini, jelasnya, tidak wujud secara berasingan tetapi saling mendukung.

Bagi aspek berteraskan keluarga, beliau berkata pemerintah melihat sesebuah keluarga sebagai “unit utama dalam masyarakat” dan bukan sekadar individu berasingan kerana jalinan kerjasama dengan keluarga “membuahkan hasil lebih baik secara kolektif” bagi segenap lapisan masyarakat.

“Walaupun MSF (Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga) merupakan kementerian bertanggungjawab bagi aspek kekeluargaan di Singapura, banyak agensi pemerintah memakai lensa keluarga apabila melakar dasar – seperti inisiatif kesihatan ibu dan anak, dasar perumahan dan persaraan, antara lain,” ujarnya.

Beliau memberi contoh keberkesanan lebih tinggi rawatan kesihatan mental yang melibatkan anggota keluarga berbanding rawatan yang dilalui secara individu.

Mengenai pendekatan proaktif, Encik Masagos berkata dasar dan perkhidmatan sosial di sini beroperasi dengan falsafah mencipta keadaan menggalakkan bagi membina keluarga dengan asas kukuh dan bukan campur tangan apabila jalinan kekeluargaan semakin parah.

Beliau turut menyerlahkan daya tahan keluarga di Singapura, yang menurutnya adalah satu konsep yang memanfaatkan kekuatan sedia ada sesebuah keluarga yang boleh digarap dan dikembangkan.

“Kami mendapati apabila kami membangunkan kekuatan keluarga dan mengambil perjalanan bersama mereka bagi merealisasikan aspirasi mereka, terdapat peluang lebih besar untuk hasil yang lebih baik,” ujar beliau.

Prinsip terakhir ialah pelibatan seluruh masyarakat, yang menyumbang kepada ekosistem yang memperkukuh dan menyokong keluarga.

Encik Masagos memberi contoh transformasi Sistem Keadilan Keluarga yang menyokong penyelesaian pertikaian keluarga dengan cara yang membolehkan pertalian keluarga kekal terpelihara.

Bertema, ‘Keluarga Asia Berdaya Tahan dan Kukuh: Cabaran dan Peluang’, sidang dua hari pada 6 dan 7 November itu dianjurkan bersama oleh MSF dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Ia diadakan sebagai wadah bagi penggubal dasar, pengkaji, dan pengamal industri di rantau ini “bertukar-tukar pengetahuan dan memupuk kerjasama lebih besar” bagi mengukuhkan fabrik kekeluargaan Asia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg