USULAN Parti Kemajuan Singapura (PSP) untuk takrifan perkahwinan ditentukan oleh referendum nasional dan bukan Parlimen mungkin kelihatan "menggoda", tetapi ia sebenarnya adalah percubaan untuk mengelak daripada mengambil pendirian sebagai anggota Parlimen dan wakil rakyat, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di Parlimen semalam.

"Walaupun sebuah referendum diadakan, PSP akan berada di pihak mana?" soal beliau ketika menyampaikan ucapan penutup bagi bacaan kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan).

Pindaan perlembagaan itu bertujuan melindungi takrifan perkahwinan semasa daripada cabaran undang-undang.

"Adakah PSP akan cuba menyatukan orang ramai, atau berdiam diri mengenai kedudukannya berhubung perkahwinan heteroseksual seperti yang ia lakukan dalam perbahasan ini? Juga, adakah sebuah referendum akan menyelesaikan isu ini?" tanya Encik Masagos.

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Hazel Poa, dari PSP kelmarin berkata parti itu menyokong pemansuhan Seksyen 377A, yang menyifatkan seks sesama lelaki sebagai jenayah, namun percaya bahawa takrifan perkahwinan harus ditentukan melalui referendum nasional.

Encik Masagos berkata perlembagaan menetapkan tahap yang sangat tinggi untuk mengadakan referendum iaitu apabila kedaulatan, atau perintah angkatan tentera dan polis, dipertaruhkan.

Singapura hanya mempunyai satu referendum dalam sejarah - pada 1962, mengenai penggabungan dengan Malaysia.

"Kita harus berhati-hati tentang menaikkan sebarang perkara ke tahap ini, menyatakan ia bersamaan dengan isu mengenai kedaulatan. Adalah menjadi kewajipan Anggota Parlimen yang dipilih untuk berunding, berbincang, dan membuat keputusan. Malah - dan mungkin terutamanya - untuk isu sosial yang sukar dan menyebabkan polarisasi," kata Encik Masagos.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

"Janganlah kita mencari pilihan yang mudah dari segi politik dan menyebut "referendum" sebagai penyelesaian yang mudah. Hanya supaya keputusan tidak perlu dibuat di Parlimen. Walau apa pun, walaupun PSP mahukan referendum, adakah ia menyokong pindaan perlembagaan atau tidak?" tanya beliau.

Sebagai tindak balas, Cik Poa berkata parti itu telah menunjukkan keupayaannya untuk membuat keputusan yang sukar, seperti pendiriannya untuk menyokong pemansuhan Seksyen 377A.

Mengenai takrifan perkahwinan, beliau berkata memandangkan tahap minat yang tinggi daripada orang ramai, dan ia bukan bidang yang memerlukan pengetahuan khusus, ia akan menjadi isu yang sesuai untuk disertai oleh orang ramai.

"Sesetengah pihak, sebaliknya, menyifatkan pemansuhan itu sebagai penyerahan diri oleh pemerintah - dan masyarakat luas - kepada kempen tanpa henti dan advokasi militan beberapa aktivis hak gay. Saya rasa ini agak tidak adil. Saya percaya, sebaliknya, bahawa perubahan ini adalah mengenai kita semua, masyarakat kita secara keseluruhan, matang dan maju secara organik. Perubahan mengambil masa - dan ini mengambil masa yang agak lama - tetapi perubahan ini tidak dicetuskan oleh kata-kata sempit atau tindakan segelintir pihak. Perubahan ini mewakili sebahagian daripada kemajuan kami yang lebih luas ke arah menjadi masyarakat yang lebih inklusif." - Encik Xie Yao Quan (GRC Jurong).

"Saya percaya bahawa bahas terbuka sebegini adalah tanda demokrasi yang sihat dan berfungsi. Walau bagaimanapun, dengan berbuat demikian kita tidak boleh melupakan kemanusiaan kita bersama. Saya memetik Muis. Sebagai respons kepada pemansuhan seksyen 377A, ia mengatakan bahawa undang-undang Islam "mementingkan maruah manusia, rasa hormat dan hubungan aman". Ia seterusnya berkata, "Nilai-nilai ini adalah penting sedang kita mengemudi isu-isu sosioagama yang rumit hari ini. Sebagai orang Islam, kita harus melayan semua orang dengan penuh maruah dan hormat. Setiap orang, tanpa mengira orientasi seksual mereka, mesti berasa selamat dalam masyarakat dan institusi kita. Umat Islam hendaklah menjunjung akhlak yang terbaik, amal dan belas kasihan, dalam berurusan dengan orang lain, walaupun dengan mereka yang kita berselisih faham." Saya percaya kenyataan ini bukan sahaja terpakai kepada mereka yang beragama Islam tetapi kepada kita semua." - Encik Louis Ng (GRC Nee Soon).

"Golongan seperti ini juga manusia biasa macam kita juga. Kita wajar kongsi bersama kelapangan dunia ini sama seperti semua ciptaan Tuhan. Janganlah kita asingkan mereka hanya kerana keadaan nafsu mereka berlainan dengan kita. Sebarkan sifat rahmah di kalangan manusia dan mengenali cabaran mereka... Ayuh, kita tanamkan sikap hormat menghormati, bukan menghukum, atas dasar perbezaan pendapat, pendirian serta kepercayaan masing-masing. Kita harus elakkan dari menyebarkan fitnah yang boleh memecah belahkan masyarakat kita." - Anggota Parlimen Dilantik, Encik Abdul Samad Abdul Wahab.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti