Awal bulan ini, ia diumumkan bahawa guru, pendidik bersekutu (AED) dan cikgu prasekolah Kementerian Pendidikan (MOE) akan menerima kenaikan gaji bulanan mulai 1 Oktober ini.

MOE berkata sekitar 35,000 guru, 1,600 AED dan 800 cikgu prasekolah kementerian itu akan menerima kenaikan gaji antara 5 dengan 10 peratus.

Semasa lawatannya ke tadika semalam sempena Sambutan Hari Guru yang jatuh Jumaat ini, Encik Masagos turut memberikan penghargaan kepada semua pendidik awal kanak-kanak (EC) di Singapura.

Sepanjang pandemik Covid-19, beliau berkata para pendidik telah menunjukkan dedikasi dan pengorbanan mereka dalam mengasuh murid-murid daripada memastikan prasekolah dibuka untuk menyokong pekerja penting barisan hadapan kepada memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak semasa pembelajaran dan rutin harian mereka.

Semalam, Ecda mengongsi empat cadangan utama yang timbul daripada Penilaian Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OHSA) yang bertujuan untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kakitangan pekerja di prasekolah dengan mempertingkatkan amalan tenaga manusia (HR) dan membaiki keadaan kerja di prasekolah.

Ini termasuk memudahkan penggunaan teknologi untuk meningkatkan proses kerja, membina reka bentuk dan sekitaran tempat kerja lebih mesra pekerja, menggalakkan kesejahteraan fizikal dan mental pekerja; serta meningkatkan keupayaan kesihatan dan keselamatan tempat kerja.

Encik Masagos menambah bahawa usaha sedang dijalankan bagi membantu guru-guru meringankan kerja pentadbiran supaya dapat memberikan tumpuan dalam pembentukan murid-murid.

"Ada beberapa inisiatif pendigitalan yang akan membantu guru-guru permudahkan kerja mereka dan membantu pusat pendidikan menjalankan program dengan peruntukan dana dari Ecda," kata Encik Masagos.

Seorang guru di tadika itu, Cik Faulina Zailani, 40 tahun yang sudah mengajar selama 20 tahun menghargai pengubahsuaian yang telah diterapkan di tadika itu.

Antaranya ialah menyediakan kerusi meja bersaiz orang dewasa untuk keselesaan para pengajar.

Selain membimbing prasekolah ke alam digital dalam memanfaatkan teknologi untuk membaiki proses kerja melalui Pelan Digital Industri Awal Kanak-Kanak (IDP), Ecda telah melibatkan sektor ini dan menawarkan cadangan seperti menyediakan lebih banyak masa rehat untuk kakitangan.

Untuk sambutan Hari Guru tahun ini, ECDA telah melancarkan gerakan media sosial #ShareWordsOfThanks, dan mengundang ibu bapa serta orang ramai untuk berkongsi penghargaan mereka kepada pendidik melalui Instagram (AR IG) Augmented Reality yang menyeronokkan dan interaktif. Ibu bapa dan anak-anak mereka boleh merakam mesej penghargaan mereka menggunakan wadah penapis dan menyiarkannya di halaman media sosial mereka dengan 'tag' @BeanstalkSingapore.