MENTERI Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad menggalak warga emas yang belum mendapatkan vaksin Covid-19 agar mendapatkannya demi kemaslahatan semua.
Ini akan membolehkan Singapura untuk membuka semula ekonominya dengan selamat.
Beliau berkata demikian sedang Singapura mempergiat program vaksinasi dengan menggandakan jumlah dos kepada 80,000 sehari, dari sekitar 47,000 sebelum ini.
Beberapa pusat vaksinasi melihat bilangan janji temu meningkat berganda semalam.
Beliau menyatakan Singapura telah pun menetapkan matlamat baru bagi program vaksinasi agar dua pertiga penduduknya selesai divaksin menjelang Hari Kebangsaan tahun ini.
Ketika ini, 75 peratus warga emas berusia 60 tahun dan ke atas telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama atau telah membuat janji temu bagi mendapatkan vaksinasi.
"Tetapi, ini tidak mencukupi dan kami berharap lebih ramai yang ke hadapan bagi melindungi diri mereka," katanya, dalam catatannya di Facebook semalam.
Beliau menggalak mereka yang belum divaksin untuk segera melakukannya agar semua selamat.
"Jumlah tinggi penduduk yang sudah divaksinasi akan membolehkan Singapura dibuka dengan selamat," ujarnya.
Mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas, tidak perlu membuat janji temu. Mereka boleh ke mana-mana pusat vaksinasi dengan kad pengenalan (IC) dan mendapat suntikan dengan segera.
Sehingga 23 Jun lalu, lebih 30,000 warga emas telah melakukannya.
Baru-baru ini, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyatakan jemaah masjid yang sudah selesai proses vaksinasi tidak perlu menjalani ujian pra-acara untuk menyertai sesi-sesi solat berjemaah.
Jika lebih ramai mendapatkan vaksin, mereka akan dapat menghadiri perhimpunan yang lebih besar, termasuk di masjid-masjid dalam masa terdekat.
Sementara itu, para penduduk di Blok 66 Eng Watt Street di estet perumahan Tiong Bahru mula menjalani ujian swab Covid-19 sejak semalam.
Ini setelah 13 penduduk daripada tiga isi rumah di blok itu diuji positif untuk koronavirus.
Kementerian Kesihatan (MOH) berharap dapat mengekang penularan lebih luas dalam masyarakat.
Cik Janine Stein, 59 tahun, seorang penerbit dalam industri hiburan, adalah antara orang pertama yang menjalani ujian swab setelah operasi ujian itu bermula pada 9 pagi semalam.
Beliau mendapat tahu mengenai ujian swab itu kelmarin apabila melihat notis diletak di sekeliling blok.
"Saya agak khuatir kerana ini merupakan kali pertama saya jalani ujian swab.
"Saya bercakap dengan beberapa rakan yang telah melakukannya dan mereka berkata ia tidak selesa, tetapi sebenarnya pengalaman saya biasa saja.
"Saya dapat rasakannya, tetapi ia tidak menyakitkan," tambah Cik Stein, yang sudah divaksin sepenuhnya terhadap Covid-19.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg