Tugas seorang menteri bukan sekadar melakukan apa yang popular hari ini.

Mereka juga perlu mempertimbangkan perkara yang bakal meletakkan Singapura pada kedudukan yang lebih kukuh, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini memerlukan penguasaan mendalam terhadap isu-isu, keutamaan yang jelas dan kesanggupan untuk membuat keputusan yang sukar.

Encik Wong memberi contoh dua menteri yang memaparkan ciri-ciri tersebut iaitu Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Berhubung perubahan iklim, Cik Fu telah mempengerusikan bersama perundingan sukar mengenai pasaran karbon global dan membantu negara-negara mencapai kesepakatan, kata Encik Wong.

Sementara itu, Encik Masagos pula digambarkan sebagai “duta yang cemerlang bagi Singapura” oleh seorang anggota Dewan Parlimen Britain semasa Simposium St Gallen.

Encik Masagos telah menyampaikan ucapan ketika menghadiri Simposium St Gallen ke-55 yang berlangsung di St Gallen, Switzerland, dari 6 hingga 7 Mei.

Encik Wong turut berkata: “Saya tidak mengatakan bahawa para menteri akan sentiasa membuat setiap keputusan dengan tepat.

“Para menteri juga melakukan kesilapan. Ada yang lebih menyerlah dalam bidang tertentu berbanding yang lain.

“Apabila kita tidak mencapai apa yang diharapkan, kita perlu belajar daripada kesilapan, melakukan penambahbaikan dan bertanggungjawab terhadapnya.”