Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad menyampaikan penghargaannya kepada Encik Amrin Amin atas sumbangan beliau dalam usaha memperkasa masyarakat Melayu Islam. "Encik Amrin adalah seorang yang begitu ramah dan disayangi ramai. Beliau telah bertungkus lumus dalam menerajui beberapa inisiatif dan kempen untuk meningkatkan masyarakat Melayu Islam. "Saya percaya bahawa beliau akan terus menabur bakti kepada masyarakat dan saya mendoakan kesejahteraan beliau sekeluarga serta kejayaan baginya dalam apa juga bidang yang diceburinya kelak," tulis Encik Masagos, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, dalam satu pos di Facebook. Menurut Encik Masagos, seperti mana yang dikatakan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah kehilangan 'beberapa butir permata' menyusuli kekalahan parti itu di GRC Sengkang. Encik Masagos turut menyentuh tentang beberapa inisiatif yang telah diusahakan Encik Amrin sebelum ini. Ini termasuk menerajui usaha membantu bekas penagih, banduan dan keluarga mereka di bawah program M Kuasa Tiga. Tambahnya, program yang dikendalikan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Mendaki dan Mesra atau M³ di bawah bimbingan beliau semakin bertambah, begitu juga dengan jumlah sukarelawan. Tulisnya: "Saya berbesar hati berpeluang untuk bekerjasama dengan Amrin. Saya harap beliau berbangga dengan apa yang telah dilakukannya untuk Singapura. "Kami mengucapkan terima kasih atas segala usahanya, dan mengharapkan yang terbaik untuk beliau dalam merealisasikan potensinya akan datang."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg