Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, akan melawat Maghribi dari 24 hingga 29 Jun.
Beliau, yang ditemani Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen, dan beberapa pegawai lain, dijadual bertemu beberapa pegawai rasmi Maghribi, termasuk Encik Andre Azoulay, Penasihat Kanan Raja Maghribi Mohammed VI; dan Menteri Perpaduan, Integrasi Sosial dan Keluarga, Dr Aawatif Hayar.
Menurut satu kenyataan Muis pada 24 Jun, Encik Masagos dijadual menghadiri dan akan menyampaikan ucapan pada sesi meja bundar peringkat menteri, yang akan berlangsung sempena Persidangan Antarabangsa Pertama Mengenai Ekonomi Jagaan dan Perlindungan Sosial di Rabat.
Sidang itu merupakan anjuran Kementerian Perpaduan, Integrasi Sosial dan Keluarga.
Encik Masagos menerima undangan Dr Hayar ke sidang itu.
Menurut kenyataan itu lagi, lawatan tersebut adalah sebahagian usaha berterusan dalam memperkukuh ikatan Singapura dengan institusi dan personaliti Maghribi.
Ia melibatkan kerjasama akan datang dalam bidang pengajian tinggi Islam dan kerjasama halal.
Encik Masagos juga akan menghadiri Forum Halal Maghribi Keenam di Casablanca dan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Muis dengan Institut Maghribi Bagi Piawaian (Imanor).
Menurut Muis, dengan MOU tersebut, Muis dan Imanor akan secara bersama mengenal pasti sijil halal dan tanda halal antara negara masing-masing.
“Pengenalpastian bersama ini akan memudahkan perdagangan produk domestik yang disahkan halal antara Singapura dengan Maghribi.
“MOU ini adalah MOU keempat Muis selepas pemeteraian MOU berkenaan pengesahan bersama sijil halal bersama Penguasa Makanan dan Ubat-Ubatan Saudi (SFDA) dan Kementerian Perusahaan dan Teknologi Lanjutan (MOIAT) pada Oktober 2023 serta Pertubuhan Piawaian dan Metrologi Jordan (JSMO) pada Januari 2024,” jelas Muis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg