Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos lawat Saudi, bincang hal haji

Jan 6, 2024 | 5:55 PM
ENCIK MASAGOS ZULKIFLI MASAGOS MOHAMAD: Antara lain akan bertemu Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq bin Fawzan Al Rabiah, untuk membincangkan hal berkaitan haji 2024.
ENCIK MASAGOS ZULKIFLI MASAGOS MOHAMAD: Antara lain akan bertemu Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq bin Fawzan Al Rabiah, untuk membincangkan hal berkaitan haji 2024. - Foto fail

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, akan melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi dari 7 hingga 11 Januari 2024.

Dalam satu kenyataan pada 6 Januari, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata Encik Masagos akan memimpin rombongan Singapura ke Jeddah bagi Pameran dan Persidangan Haji dan Umrah tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Sewaktu lawatan itu, Encik Masagos juga dijadualkan bertemu Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq bin Fawzan Al Rabiah.

Mereka dijangka membincangkan hal berkaitan musim haji yang akan datang dan memeterai perjanjian haji yang memperincikan kuota haji bagi Singapura untuk musim haji pada Jun 2024.

Delegasi itu juga akan melawat Riyadh, dengan Encik Masagos mengetuai rombongan perniagaan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Mereka akan membincangkan peluang perniagaan di Arab Saudi dan rantau itu, menyusuli pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) Halal oleh Muis dan Penguasa Makanan dan Ubat-Ubatan Arab Saudi (SFDA) pada Oktober 2023 semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, ke Arab Saudi.

Di Madinah, Encik Masagos akan bertemu pelajar Singapura yang sedang menuntut di peringkat pengajian tinggi di Arab Saudi, termasuk di Universiti Madinah.

Pertemuan itu sebahagian daripada usaha beliau mendekati warga Singapura di luar negara dan memahami pengalaman mereka. 

Encik Masagos diiringi Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, dan para pegawai lain dalam lawatan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg