Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Lebih 80% asatizah di masjid, madrasah naik gaji 5-12%

Kenaikan sejak 2023 susuli pelaksanaan inisiatif penyesuaian gaji; perbahasan belanjawan dan kementerian ditutup dengan sokongan semua AP
Mar 10, 2025 | 3:20 PM
Dengan pelaksanaan fasa ketiga tahun ini, diharap gaji lebih ramai asatizah akan dinaikkan untuk mencapai lingkungan gaji Garis Panduan Gaji Umum (CSG), kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Dengan pelaksanaan fasa ketiga tahun ini, diharap gaji lebih ramai asatizah akan dinaikkan untuk mencapai lingkungan gaji Garis Panduan Gaji Umum (CSG), kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad. - Foto fail

Lebih 80 peratus asatizah dalam sektor masjid dan madrasah telah menyaksikan peningkatan gaji purata 5 peratus hingga 12 peratus sejak 2023, menyusuli pelaksanaan inisiatif penyesuaian gaji bagi memenuhi Garis Panduan Gaji Umum (CSG), kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah melaksanakan inisiatif penyesuaian gaji dalam tiga fasa dari 2023 hingga 2025 di bawah CSG dalam usaha memastikan asatizah menerima gaji kompetitif yang mencerminkan fungsi dan tanggungjawab pekerjaan mereka dengan tepat.

Dalam jawapannya kepada Berita Harian (BH), Muis menyatakan berdasarkan data yang dikumpulkan pada 2024, gaji asatizah pada fasa kedua CSG meningkat dengan ketara, dengan peralihan jelas daripada julat gaji lebih rendah ($3,000 dan ke bawah) kepada julat gaji lebih tinggi (melebihi $3,000).

Hasilnya, 72 peratus asatizah kini membawa pulang gaji lebih $3,000 sebulan berbanding hanya 37 peratus pada 2023.

Bercakap di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) berhubung ehwal masyarakat Islam di Parlimen pada 10 Mac, Encik Masagos berkata Muis telah menjalankan penilaian teliti terhadap skop kerja asatizah dan penanda aras gaji mereka berbanding sektor-sektor berkaitan di peringkat nasional, serta mendampingi para majikan untuk memastikan pelarasan gaji berdaya saing dan mampan.

Dengan pelaksanaan fasa ketiga CSG tahun ini, harapannya adalah agar gaji lebih ramai asatizah akan dinaikkan untuk mencapai lingkungan gaji CSG.

Muis merancang mengumumkan garis panduan CSG untuk sektor keagamaan pada 2026, demi memastikan ketelusan dan pendekatan awam.

Encik Masagos menambah bahawa Muis komited bekerjasama dengan para majikan agar terus menyelaraskan gaji asatizah supaya setimpal dengan ilmu dan kemahiran mereka.

“Ini juga supaya mereka memenuhi penanda aras gaji nasional bagi sektor-sektor berkaitan, secara bertahap-tahap.

“Kami harap usaha ini dapat memberi jaminan kepada para asatizah dan mengiktiraf kerja keras mereka dalam memberi bimbingan dan nasihat agama kepada masyarakat Islam – yakni dalam menyahut panggilan kerjaya, mereka mampu menyara kehidupan yang selesa bagi diri mereka dan keluarga masing-masing, sama seperti warga Singapura yang lain,” kata beliau.

CSG merupakan antara saranan yang dikemukakan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) pada 2019.

Semasa menjawab soalan Parlimen pada Julai 2023, Encik Masagos ketika itu menyatakan kebanyakan, atau 62 peratus asatizah, menerima gaji antara $2,001 dengan $3,000 sebulan; sementara 30 peratus asatizah menerima gaji antara $3,001 dengan $4,000 sebulan.

Sementara itu, sejumlah 7 peratus asatizah menerima gaji $4,001 dan ke atas sebulan. Sebanyak 2 peratus asatizah menerima gaji kurang $2,000 sebulan.

Pada masa ini, terdapat 5,080 asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), dengan sekitar dua pertiga daripada mereka adalah wanita.

Encik Masagos berkata asatizah memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan dan persefahaman antara masyarakat berbilang agama, dan penting memastikan sektor agama kekal menarik.

“Mereka mengajak para jemaah untuk giat meluaskan ruang bersama dan membuka masjid-masjid kepada masyarakat lain. Ini amat ketara pada bulan puasa, dengan masjid-masjid mengalu-alukan rakan-rakan bukan Islam untuk berbuka puasa bersama, sambil berkongsi kemeriahan dan kesucian Ramadan.

“Justeru, kita mesti memastikan sektor agama kekal menarik untuk menjana barisan asatizah bermutu,” kata beliau.

Menutup perbahasan belanjawan dan kementerian selepas sembilan hari, Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, berkata Belanjawan 2025 merupakan belanjawan terakhir bagi penggal “roller coaster” ini, dan yang paling besar pada $143 bilion.

Belanjawan 2024 dan 2025 adalah mengenai “menghidupkan idea-idea yang dicipta bersama rakyat Singapura di bawah Melakar Hala Tuju Singapura dan melaksanakan rancangan untuk hari esok yang lebih baik dan cerah”, tambah beliau.

Semua Anggota Parlimen (AP), daripada kedua-dua parti pemerintah dan parti pembangkang, sebulat suara menyokong Belanjawan 2025.

Sementara itu, Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, berkata sekitar 600 ucapan telah dikemukakan 61 AP buat kementerian yang berbeza sepanjang sembilan hari perbahasan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg