Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Pembangunan semula perboleh Masjid Khadijah, pusat RRG sampaikan khidmat lebih baik

May 1, 2021 | 5:30 AM
LAWAT RCC: Encik Heng Swee Keat (kanan) melawat Pusat Sumber dan Kaunseling RRG bersama (dari kiri) Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Profesor Muhammad Faishal Ibrahim dan ahli sekretariat RRG Salim Mohamed Nasir. - Foto MCI
LAWAT RCC: Encik Heng Swee Keat (kanan) melawat Pusat Sumber dan Kaunseling RRG bersama (dari kiri) Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Profesor Muhammad Faishal Ibrahim dan ahli sekretariat RRG Salim Mohamed Nasir. - Foto MCI -

PEMBANGUNAN semula Masjid Khadijah dan Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC) Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) akan membolehkan kedua-dua badan itu menyampaikan khidmat yang lebih baik kepada masyarakat Islam serta masyarakat lain secara am.

Ini dinyatakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkfli Masagos Mohamad dalam satu pos di Facebook semalam.

Rancangan pembangunan semula masjid itu dan peluasan RCC, yang terletak di tingkat dua masjid tersebut, dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat kelmarin.

Projek itu diterajui bersama oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Masjid Khadijah, dan RRG.

Semasa majlis pelancaran itu, Encik Heng melawat RCC bersama Encik Masagos.

Menulis dalam pos Facebook itu, Encik Masagos berkata: "Saya mengalu-alukan projek ini kerana ia memberi Masjid Khadijah peluang untuk terus memenuhi keperluan umat Islam dan juga menyokong kerja baik RRG dalam memelihara keselamatan dan kesejahteraan Singapura.

"Saya juga amat menghargai sumbangan daripada pengerusi bersama RRG, Ustaz Ali Mohamed dan Ustaz Hasbi Hassan."

Beliau menambah bahawa masyarakat Melayu/ Islam telah mencapai progres baik yang patut dibanggakan.

"DPM Heng menarik perhatian tentang kemajuan baik yang dicapai masyarakat Melayu/Islam.

"Beliau berkongsi bahawa beliau terdorong oleh usaha masyarakat kita, terutama dalam membangunkan kerjasama dan program-program yang ditawarkan untuk golongan yang memerlukan.

"Ini termasuk gandingan baik oleh badan-badan Melayu/Islam dengan inisiatif M Kuasa Tiga (M³), termasuk M³@Bandar untuk memperluas jangkauan kepada lebih banyak keluarga yang kurang bernasib baik," ujar Encik Masagos.

Antara rancangan lain di bawah projek pembangunan semula itu ialah pembinaan galeri luar RCC, peluasan dewan serbaguna, dan pemasangan lif baru di masjid itu, yang berusia lebih 100 tahun.

Projek itu dijangka siap pada 2023.

Majlis pelancaran projek itu turut dihadiri Menteri Kanan Teo Chee Hean, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam, Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, Ustaz Ali Mohamed, Ustaz Mohd Hasbi Hassan, Ketua Eksekutif Muis Esa Masood, dan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg