Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Masagos: Penting rancang awal hadapi cabaran masa depan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Keberanian dan kebersamaan ciri perkasa diri; bersatu padu hadapi masalah

Masagos: Penting rancang awal hadapi cabaran masa depan

Apr 23, 2024 | 05:30 AM



Pupuk Masyarakat Pemurah

Para hadirin yang saya hormati, unsur utama kewarganegaraan ialah masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.

Sebuah kaum minoriti boleh menyumbang dengan berkesan apabila ia sendiri adalah masyarakat perkasa

Masyarakat perkasa adalah masyarakat yang boleh berdikari. Ini sama dengan negara kecil seperti Singapura, yang perlu berada dalam kedudukan yang mantap dan berdikari untuk kekal berdaulat.

Kini, masyarakat kita lebih perkasa dan berada pada landasan yang kukuh. Ini kerana dua faktor unik.

Pertama, keberanian.

\Kita berani menghadapi cabaran besar yang membelenggu masyarakat, dan berikhtiar mencari huraian untuk mencapai kemajuan. Itulah ciri yang dipamerkan masyarakat kita 40 tahun lalu.

Pada waktu itu, masyarakat Melayu berhadapan dengan masalah keciciran pendidikan yang sangat meruncing.

Pemimpin masyarakat berani menerima hakikat ini. Mereka akur bahawa sistem meritokrasi di Singapura adalah teras negara. Dan hakikatnya, kita tidak boleh mengharapkan kuota atau tindakan afirmatif sebagai penyelesaian mudah dan cepat.

Kita perlu bekerja keras untuk mencatat kemajuan untuk mendapatkan kelayakan mahupun pengiktirafan yang sewajarnya. Justeru, Mendaki ditubuhkan untuk tujuan ini.

Sepanjang beberapa dekad, pemimpin masyarakat kita berganding bahu dan beriltizam meningkatkan pencapaian pendidikan masyarakat kita.

Hasilnya, masalah keciciran diatasi dengan tuntas. Malah, lebih ramai pelajar Melayu kini layak ke institusi pengajian tinggi. Bilangan siswazah pun terus meningkat dengan begitu ketara, sebanyak seganda antara 2010 dengan 2020.

Dengan pencapaian pendidikan yang lebih baik, lebih ramai orang Melayu memegang jawatan PMET (karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen) dan mereka bekerja dalam sektor pesat berkembang seperti Maklumat dan Perhubungan.


Peningkatan ini sekali gus menaikkan pendapatan median keluarga per kapita tahun demi tahun.

Keberanian juga telah membolehkan kita menghadapi gejala sosial lain hingga mengurangkan kadar jenayah yang tinggi.

Kini, ia juga akan membantu kita menangani isu baru yang bertambah rumit.

Ini termasuk membantu golongan pekerja kita untuk memperoleh kemahiran serta kelayakan supaya kekal relevan, menangani masalah kesejahteraan mental, ataupun masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Keberanian telah menjadi kunci kemajuan masyarakat kita. Kita perlu terus berani dan bukan berasa malu dengan masalah yang membelenggu masyarakat kita. Kerana kita akur keberanian telah menghasilkan kemajuan bagi diri kita sendiri, dan juga masyarakat kita.

Ciri yang kedua ialah kebersamaan.

Semangat gotong-royong sudah menjadi sebahagian daripada budaya orang Melayu yang sebati dengan jiwa dan naluri masyarakat kita. Ia mendorong sikap saling membantu yang telah membolehkan kita untuk mencatat kemajuan pesat sejak Singapura merdeka.

Dengan bersatu padu menghadapi masalah yang timbul, dan menghadapinya dengan berani, masyarakat kita akan terus perkasa.

Atas semangat inilah kami membentuk M³ lima tahun lalu untuk memperkasa masyarakat Melayu/Islam, agar kita dapat berganding bahu dalam menghuraikan masalah berbeza serta merangsang kejayaan.

Sehingga kini, M³ telah menjayakan pelbagai usaha seperti program sokongan rumah tangga melalui, Bersamamu; program penglibatan belia melalui inisiatif pementoran; program pendamping keluarga di flat sewa menerusi Projek Dian@M³; program sokongan kepada bekas pesalah menerusi FITRAH (Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga); serta program meningkatkan tahap kesihatan melalui Saham Kesihatan.

Saya gembira ramai karyawan turun padang melalui rangkaian M³, dalam memperkuat lagi program pementoran belia kita.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan dan kakitangan Muis, Mendaki dan Mesra (Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat) serta badan-badan Melayu/Islam (MMO), serta rakan-rakan pertubuhan masyarakat yang lain atas segala usaha dan kerjasama yang penuh bermakna ini.

Kita bakal menyambut ulang tahun M³ yang kelima pada akhir 2024. Ini adalah suatu peluang yang baik untuk menilai semula dan meraikan kemajuan masyarakat kita, sambil merakamkan penghargaan kepada semua yang tampil berkongsi masa, bakat dan rezeki demi kemaslahatan masyarakat kita.

Fikir Jangka Panjang

Hadirin yang saya hormati, dalam menangani keperluan masyarakat kita dan Singapura yang berubah-ubah pada masa mendatang, kita mesti memanfaatkan kekuatan yang baru pula jika mahu terus menjadi masyarakat perkasa.

Pada awal zaman pembangunan Singapura, terdapat beberapa hartawan dalam kalangan nenek moyang kita. Dermawan seperti Hajah Fatimah dan Syed Omar Ali Aljunied mewakafkan kekayaan mereka untuk membangunkan masjid di Singapura, alhamdulillah.

Apabila jumlah penduduk kita bertambah, kita perlu bina lebih banyak masjid untuk memenuhi keperluan agama masyarakat kita yang turut meningkat.

Generasi yang lalu menggarap sumbangan bulanan secara kecil-kecilan daripada pekerja Muslim menerusi Dana Pembinaan Masjid, yang sekarang dikenali sebagai MBMF, hingga membiayai kos pembinaan 26 masjid di kawasan kejiranan kita.

Memandang ke hadapan, pajakan tanah bagi masjid perlu diperbaharui, dan kosnya tentu akan lebih mahal daripada sebelumnya. Kita juga perlu membiayai kos pendidikan agama dan keperluan sosial masyarakat kita yang semakin meningkat.

Seperti nenek moyang kita, kita harus membuat perancangan lebih awal sebagai persiapan demi memenuhi keperluan masa hadapan. Kita juga perlu pendekatan baru.

Dalam hal ini, kita mempunyai asas yang kukuh. Masyarakat kita mempunyai sekurang-kurangnya $2 bilion dalam bentuk aset cair. Ini dianggar berdasarkan pungutan zakat yang berjumlah sekitar $60 juta setiap tahun.

Hakikatnya, jumlah nilai aset masyarakat semakin tinggi. Oleh itu, saya telah mengusulkan penubuhan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) untuk memanfaatkan kekayaan yang terkumpul dalam masyarakat kita.

Dengan cara ini, ia membolehkan setiap orang menjadi ahli wakif dengan memberikan sumbangan kepada wakaf tersebut.

Pada asasnya, WMS hanya akan menggunakan pulangan dan tidak mencairkan dana pokok. Ia akan menyokong pelbagai keperluan masyarakat secara meluas dan fleksibel, termasuk pembangunan asatizah kita.

Banyak persiapan yang dilakukan setakat ini untuk melaksanakan WMS.

Pada 2020, Panel Penasihat WMS yang diketuai oleh Encik Abu Bakar Mohd Nor, bertemu pihak berkepentingan secara meluas untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pelaksanaan WMS. Ini membina tiang-tiang WMS. Terima kasih saya ucapkan kepada Encik Abu Bakar dan para anggota panel.

Pada awal 2024 pula, pemerintah meminda Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) untuk mewujudkan asas undang-undang bagi WMS.

Kami akan membentuk sebuah Jawatankuasa Sementara untuk menyelia pelaksanaan WMS. Kami juga akan membentuk sebuah Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam untuk mempertingkat pemahaman dan sokongan daripada masyarakat kita kepada WMS.

Encik Bahren Shaari telah bersetuju menjadi Pengerusi bagi Jawatankuasa Sementara yang akan selanjutnya dijadikan Lembaga WMS, manakala Encik Zhulkarnain Rahim pula akan mengetuai Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam. Terima kasih Encik Bahren dan Zhulkarnain.

Mereka akan berusaha menggalak masyarakat kita mengamalkan perancangan harta pusaka, dan mewakafkan sebahagian harta kepada WMS, bagi memenuhi keperluan jangka panjang keagamaan kita.

Ini juga termasuk penulisan wasiat yang turut merupakan antara amalan penting yang perlu kita tunaikan sebagai orang Islam. Muis telah menetapkan Ogos ini sebagai Bulan Wakaf, untuk menyokong masyarakat memahami lebih lanjut terhadap usaha ini.

Seperti mana generasi lalu memberi sumbangan kepada generasi seterusnya, kini peluang kita pula.

Marilah kita menyumbang kepada WMS apabila ia dilancarkan pada Ogos sebagai sumbangan kita di dunia dan saham di akhirat kelak, insya-Allah.

Hadirin sekalian, tidak semua masyarakat minoriti Islam berkongsi pengalaman yang sama dengan kita atau mampu memperkasakan diri mereka dengan ciri-ciri yang saya sebutkan tadi iaitu keberanian dan kebersamaan atas sebab-sebab tertentu. Disebabkan ini maka mereka tidak mempunyai nasib sebaik kita.

Ada masyarakat Islam minoriti yang hidup di negara maju tetapi masih menghadapi isu keperluan asas agama, seperti mewujudkan kawasan perkuburan Islam.

Negara mereka mungkin sahaja mempunyai undang-undang untuk menyempurnakan keperluan rakyat, termasuk orang Islam; tetapi hakikatnya, undang-undang tersebut tidak semestinya memanfaatkan mereka.

Terdapat juga masyarakat yang berhadapan dengan situasi baru di mana pemerintah yang dipilih menang kerana memperjuangkan kepentingan kaum majoriti dalam pentadbiran negara.

Di tempat-tempat sedemikian, status kaum minoriti berubah, dan mereka kini dipinggirkan atau berhadapan keganasan.

Contoh-contoh ini menjadi peringatan penting kepada kita tentang dua perkara:

Pertama, kita, di Singapura, tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap keyakinan yang ada di antara kaum, serta keharmonian sosial kita, kerana ia bukan satu perkara yang berlaku secara semula jadi mahupun sesuatu yang pasti berkekalan buat selamanya. Ia perlu dipupuk dari semasa ke semasa oleh setiap individu dalam masyarakat.

Kedua, setiap kaum, sama ada minoriti atau majoriti, perlu saling hormat-menghormati antara satu sama lain, serta bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing demi kepentingan masyarakat dan negara.

Bina Masyarakat Bersatu Padu

Ini membawa saya kembali kepada konsep kewarganegaraan. Kerana masyarakat perkasa juga perlu terus membina keyakinan dengan masyarakat lain dan pemerintah.

Mufti telah mengungkap sebuah hadis dalam khutbah Hari Raya 2024, “Perumpamaan seorang mukmin itu seperti pohon kurma, apa pun yang kamu ambil darinya pasti bermanfaat bagimu.”

Mufti menjelaskan akhlak seorang Muslim yang yakin, berdaya tahan, dan perkasa, adalah seperti pohon kurma yang memberi perlindungan dan sumbangan bermakna kepada dunia.

Jika seorang Islam pohon kurma, masyarakat kita pula ibarat kebun kurma! Kebun kerana kekuatan kolektif kita. Dan ia akan dimanfaatkan sebaiknya apabila kita bekerjasama dalam pelbagai aspek dengan masyarakat lain dan pemerintah hingga terbina keyakinan terhadap masyarakat kita.

Pada 2024, Barometer Keyakinan Edelman melaporkan Singapura mencatat antara mata tertinggi bagi keyakinan terhadap pemerintah dan institusi lain, dan ini telah meningkat sejak 2020.

Ini membuktikan usaha yang dijalankan pemerintah, pemimpin masyarakat, serta rakyat untuk membina keyakinan terhadap satu sama lain, telah berjaya membuahkan hasil, sedang kita membina masa hadapan bersama.

Kerana membina keyakinan antara masyarakat berbilang bangsa dan agama ialah tunjang kewarganegaraan.

Tinjauan ini juga menunjukkan setiap kaum, termasuk masyarakat Melayu/Islam kita, memainkan peranan masing-masing sebagai rakyat yang aktif, dan dalam membina sebuah masyarakat Singapura yang bersatu padu.

Ini tidak mungkin tercapai tanpa keberanian dan kebersamaan masyarakat kita dan jadikan masyarakat perkasa. Inilah tunjung kewarganegaraan.

Kepimpinan Agama

Saya juga bersyukur kerana dalam soal kewarganegaraan, kepimpinan agama kita telah membimbing masyarakat dengan baik. Mereka membantu kita mengemudi isu yang menjadi keprihatinan negara dan lensa agama dan memastikan semangat kewarganegaraan kita terus mekar.

Misalnya, umat Islam bersatu hati dalam menentang pengganasan selepas peristiwa 9/11 (pada 11 September) dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pula menyokong usaha pemerintah memerangi ekstremisme hingga ke hari ini.

Mufti kita juga memaparkan semangat kewarganegaraan yang begitu menyerlah apabila beliau dan Ketua Rabai bertukar-tukar surat untuk memberi keyakinan bahawa mereka terus menyokong satu sama lain ketika konflik di Gaza bertambah buruk.

Dalam masa yang mencabar ini, Mufti mengingatkan kita supaya mengubat rasa benci dengan sifat rahmah dan menangkis kezaliman dengan kebaikan.

Namun, beliau tidak meninggalkan prinsip dan meluahkan tegurannya apabila Kedutaan Israel memuatnaikkan hantaran Facebook yang tidak wajar.

Tindakan ini jelas menunjukkan sifat kewarganegaraan yang tersemat dalam prinsip agama kita, yang dapat memandu semangat yang sama dalam masyarakat kita.

Oleh itu, kita perlu membangunkan pendekatan pragmatik sedang kita berhadapan dengan isu baru dan unik.

Para cendekiawan Islam kita perlu membangunkan prinsip yang boleh diterapkan dalam kehidupan harian kita.

Mereka harus membantu orang Islam menghadapi isu harian yang timbul secara objektif dan bukan mengikut perasaan semata-mata, dengan kesederhanaan dan bukan secara melampau, mengikut konteks dan bukan secara mutlak.

Dengan kerencaman media sosial, kita mesti memupuk naluri mendalam di jiwa masyarakat Islam di Singapura untuk mengemudi identiti mereka sebagai rakyat Singapura, sambil mentaati tuntutan agama.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >