MENTERI Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menggalak orang ramai terutamanya masyarakat Melayu/Islam untuk menderma bagi membantu masjid-masjid di sini yang terjejas pendapatannya akibat penularan koronavirus.
"Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah membangunkan sebuah wadah, OurMasjid.sg untuk memudahkan orang ramai menderma secara tetap kepada masjid-masjid di Singapura. Anda boleh membuat sumbangan dalam talian di www.ourmasjid.sg.
"Sudah sebulan masjid-masjid di merata Singapura ditutup. Ia merupakan cara kita menjalankan amanah dan tanggungjawab kita bersama untuk mengekang penularan COVID-19 demi kesejahteraan masyarakat Singapura," pinta beliau.
Menurut Encik Masagos, dengan penutupan masjid, pendapatan masjid jelas terjejas. Selama ini derma ikhlas tuan-puanlah yang menggajikan para asatizah dan pegawai dan menjaga keberadaan masjid-masjid kita.
"Kepada mereka yang berkemampuan, saya menyeru agar anda menyumbang sebahagian dari $600 Bayaran Kesepakatan (Solidarity Payment) yang akan diagihkan oleh Pemerintah esok untuk membantu rumah-rumah ibadah kita. Anggaplah ia derma Jumaat yang selalu kita berikan tetapi terhenti dek penutupan masjid . Bagi yang tidak memerlukan Bayaran Kesepakatan pula, saya anjurkan kita ikhlaskan kesemuanya ke dana ini.
Laman OurMasjid (Masjid Kita) menyatakan, kesemua 70 Masjid di Singapura menggajikan lebih 2,000 pekerja Muslim - yang kesemuanya merupakan tunjang dan memainkan peranan di barisan depan.
"Para pegawai masjid kita merupakan barisan hadapan kita. Mereka berdepan dengan ribuan jemaah setiap minggu. Apabila situasi COVID-19 bermula, mereka tampil untuk melakukan apa sahaja demi kebaikan dan keselamatan para jemaah. Walau jemaah tidak dapat beriktikaf di masjid, kakitangan masjid telah mengubah cara mereka bertugas dan bertungkus-limus membawa perkhidmatan masjid ke jemaah melalui wadah dalam talian. Mereka tetap bekerja keras menjaga prasarana masjid di samping bersiap sedia bagi pembukaan semula kelak setelah bahaya wabak COVID-19 berkurangan. Sokongilah kami dengan derma ikhlas anda," menurut kenyataan di laman itu.
Terang laman itu lagi, derma yang dihulurkan jemaah semasa solat Jumaat merupakan sumber pendanaan utama operasi masjid. Ekoran penutupan masjid, masjid-masjid di sini 'terputus' pendapatan mereka.
"Pegawai masjid termasuk kakitangan pentadbiran, noja, imam dan guru-guru madrasah berdepan dengan masa-masa sukar ekoran penutupan masjid," menurut kenyataan itu lagi.
Disebabkan itu, kata Encik Masagos, "Sumbangan anda akan membolehkan masjid-masjid kita terus berfungsi dalam mengeluarkan program-program keagamaan. Marilah kita terus beramal soleh dengan menyokong masjid-masjid dalam masa yang sangat mencabar ini. Sumbangan anda, walau sekecil manapun besar ertinya bagi masjid-masjid kita menjadi bukti cinta dan semangat Kesepakatan Kita pada Masjid!"


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg