SEKATAN kemasukan ke pasar yang akan dilaksanakan di empat pasar popular di sini mulai esok boleh diperkenalkan di pasar lain yang mengalami kesesakan juga.
Menyatakan demikian di laman Facebooknya pada Selasa (21 April), Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata langkah baru itu akan membantu mengurangkan kesesakan dan barisan panjang di pasar-pasar itu, terutama pada hujung minggu. Pasar yang terjejas ialah Pasar Geylang Serai, pasar di Blok 20/21 Marsiling Lane, pasar di Blok 505 Jurong West Street 52 dan pasar di Blok 104/105 Yishun Ring Road. Kemasukan ke pasar-pasar itu begantung kepada nombor terakhir kad pengenalan pengunjung. Kad dengan nombor akhir ganjil boleh memasuki pasar itu pada tarikh ganjil, dan kad dengan nombor genap boleh memasuki pasar itu pada tarikh genap. "Sehingga pemutus rantaian jangkitan diangkat, semua orang harus duduk di rumah. Jika anda perlu keluar untuk membeli makanan atau barangan/perkhidmatan penting, sila pergi sendiri dan bukan secara berkumpulan, walaupun dari isi rumah yang sama," kata Encik Masagos. Beliau menambah, sedang ramai warga dan penduduk mematuhi langkah jarak selamat, ada segelintir orang yang tidak memainkan peranan mereka. Sejak pemutus rantaian jangkitan bermula pada 7 April, Encik Masagos berkata lebih 2,100 orang didapati tidak mematuhi langkah jarak selamat, dan lebih 500 orang tidak memakai pelitup apabila di luar rumah. "Kami akan memantau keadaan Covid-19 dengan teliti. Jika ada penurunan ketara dalam bilangan penyebaran setempat, kami mungkin boleh sedikit-sedikit mengurangkan beberapa langkah itu," kata Encik Masagos.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg