Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos seru orang ramai sokong satu sama lain dalam masa pemutus litar

Apr 18, 2020 | 5:30 AM
PASTIKAN JARAK SELAMAT: Pegawai penguatkuasaan jarak selamat mengenakan kain lilit lengan berwarna merah, manakala Duta Jarak Selamat boleh dikenal pasti dengan pas dan lanyard berwarna merah. - Foto FACEBOOK MASAGOS ZULKIFLI MASAGOS MOHAMAD
PASTIKAN JARAK SELAMAT: Pegawai penguatkuasaan jarak selamat mengenakan kain lilit lengan berwarna merah, manakala Duta Jarak Selamat boleh dikenal pasti dengan pas dan lanyard berwarna merah. - Foto FACEBOOK MASAGOS ZULKIFLI MASAGOS MOHAMAD -

MENTERI Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semalam menyeru orang ramai supaya menyokong satu sama lain dalam mengharungi 17 hari lagi semasa tempoh pemutus litar ini.

Memberi perkembangan mengenai penguatkuasaan langkah dalam tempoh itu, Encik Masagos berkata seramai 100 orang didapati tidak mengenakan pelitup semalam.

Lebih 150 pula didenda kerana makan di kedai makanan, berlegar-legar di tempat awam, atau tidak mematuhi peraturan jarak selamat lain.

Menulis di Facebook, Encik Masagos berkata semua orang terpaksa membuat penyesuaian besar kepada rutin harian serta cara bekerja dan menjalani kehidupan.

"Semua usaha individu penting dan memberi kesan positif kepada usaha Singapura untuk melawan Covid-19.

"Marilah kita terus menggalakkan dan menyokong satu sama lain bagi mengharungi 17 hari lagi ini," kata Encik Masagos.

Dalam pos itu, beliau turut menarik perhatian tentang tugas pegawai penguatkuasaan dan Duta Jarak Selamat yang "benar-benar bukan mudah".

"Sedang kebanyakan orang yang ditemui memberi kerjasama, mereka juga terus menemui orang yang tidak munasabah dan sukar.

"Berilah galakan kepada mereka jika anda menemui mereka apabila anda keluar untuk dapatkan barangan keperluan," kata Encik Masagos.

Duta Jarak Selamat boleh dikenal pasti dengan pas dan lanyard berwarna merah, manakala pegawai penguatkuasaan turut mengenakan kain lilit lengan berwarna merah.

Sementara itu, Encik Masagos mengucapkan terima kasih kepada warga dan penduduk yang melaksanakan tanggungjawab sosial dengan duduk di rumah.

Beliau turut menghargai mereka yang menyediakan perkhidmatan penting, termasuk khidmat makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, bahkan berita.

Bagi mereka yang terus mengingkari peraturan jarak selamat, mesej Encik Masagos kepada mereka:

"Usahlah sesiakan usaha majoriti."

Kelmarin, Encik Masagos berkata sekitar 50 orang ditemui tidak menggunakan pelitup muka apabila keluar rumah, dan sekitar 150 pula dikenakan denda kerana melanggar langkah jarak selamat.

Mereka yang tidak memakai pelitup atau yang melanggar peraturan langkah jarak selamat lain akan dikenakan denda.

Pesalah kali pertama akan dikenakan denda $300.

Pesalah berulang pula akan dikenakan denda lebih tinggi atau dihadapkan ke mahkamah.

Pemakaian pelitup dikecualikan bagi bagi kanak-kanak berusia di bawah dua tahun dan mereka yang melakukan senaman berat seperti berlari-lari anak atau berlari.

Namun, selesai sahaja melakukan senaman, mereka perlu memakai pelitup semula.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg