MENTERI Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah bertemu Mufti Negara Brunei Darussalam, Dr Ustaz Haji Abdul Aziz Juned, dan Menteri Ehwal Agama, Ustaz Baharuddin Othman, semasa lawatannya ke negara tersebut baru-baru ini.

Dalam rangka lawatan selama tiga hari berakhir kelmarin, Encik Masagos juga telah dijamu makan malam di rumah Ustaz Baharuddin.

Melalui kirimannya di Facebook semalam, Encik Masagos berkata beliau telah membincangkan isu sosioagama serta mengambil peluang untuk mengundang Ustaz Badaruddin untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Berjaya (ICCOS) pada September ini.

"Kami telah membincangkan tentang isu-isu sosioagama. Covid-19 telah memberi pengajaran yang bernilai dan kita boleh pelajari dari cendekiawan Islam seluruh dunia dalam menyesuaikan kehidupan beragama dan pada masa yang sama terus maju semasa tempoh mencabar," katanya.

Dengan tema 'Warga Menyumbang, Institusi Dinamik', ICCOS bertujuan menyediakan platform bagi cendekiawan agama, pegawai negara dan pemimpin masyarakat merata dunia berbincang isu masa kini dan akan datang yang memberi impak kepada kehidupan sosioagama warga Islam di negara masing-masing.

Sebagai salah satu hasil sidang ini juga, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan tumpukan pada usaha membangun badan ilmu yang kritikal yang dapat membimbing masyarakat minoriti Muslim dalam masyarakat berbilang budaya agar terus berkembang maju.

Semasa lawatan itu, Encik Masagos juga telah menemui Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dan juga Putera Mahkota yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah.

Dalam kirimannya di Facebook sebelum ini, Encik Masagos berkata pertemuan tersebut memperkukuh hubungan akrab dan persahabatan antara Singapura dengan Brunei.

Dengan sempadan di kededua negara yang telah dibuka, Encik Masagos turut melahirkan harapan agar lebih banyak program pertukaran diadakan tahun ini.

Encik Masagos ditemani pegawai MSF dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam lawatan itu.